Samsung Galaxy S21 FE Dengan Cip Snapdragon 888 Dilancarkan Secara Rasmi
Amy Maizuraa
Samsung kini hadir dengan penawaran Galaxy S21 FE baharu yang menggunakan cip Snapdragon 888. Untuk rekod, variasi peranti yang diperkenalkan sebelum ini menggunakan cip Exynos 2100 dan turut dijual di Malaysia dengan harga RM2,899.

Cip pemprosesan mungkin berbeza namun sebahagian besar perkakasan dalaman yang lain sama sahaja dengan peranti sebelum ini. Begitu juga dengan reka bentuk yang juga nipis bersama panel hadapan berlubang dan panel belakang dengan sistem tri-kamera.
Untuk lebih khusus peranti ini menggunakan skrin 6.4″ Dynamic AMOLED 2X (2340 X 1080 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Ini digabungkan pula dengan pilihan memori sama ada 6/8GB RAM yang juga memuatkan storan dalaman 128/256GB.

Peranti juga memuatkan sistem kamera 12MP (lebar) + 12MP (ultra lebar) + 8MP (telefoto) dan kamera swafoto sebesar 32MP. Bateri sebesar 4,500mAh juga disertakan dengan pengecasan 25W. Peranti ini dijual di India pada harga bermula ₹49999.00 dengan pilihan warna Navy, Olive, Graphite, Lavender dan White.
Persoalan mula timbul mengenai penawarannya di Malaysia memandangkan tiada sebarang khabar mengenainya yang dikongsikan buat masa ini.