Sony Alpha A6700 dilancarkan secara rasmi dengan ia mungkin kamera yang amat dinantikan kerana kali terakhir siri ini dilancarkan ialah menerusi A6600 empat tahun yang lalu. Dalam waktu tersebut sistem kamera dan keperluan penggunanya telah berubah. Kamera ini dilengkapi sensor 26MP Exmor-R APS-C dengan sistem penstabilan 5 paksi IBIS. Ia dipadankan pula dengan cip pemprosesan imej Bionz XR.

Terdapat sistem pemofokusan PDAF sebanyak 759 titik. Ciri standard kamera Sony Alpha iaitu mod pemfokusan manusia, haiwan, wajah dan mata boleh dipilih. Menerusi sensor ini, kamera boleh merakam video pada tetapan 4K 120FPS. Terdapat mod Cinetone untuk mod warna sinematik. Bagi yang merakam video HDR, mod S-Log3 dan HLG boleh dilakukan.

Kemampuan menangkap gambar pula ialah sehingga 11FPS. Satu ciri menarik yang diberikan ialah kamera boleh menjejak subjek yang bergerak ketika merakam video seakan CenterStage pada iPad.
Di belakang terdapat skrin 3″ sesentuh yang boleh dipusing ke hadapan untuk rakaman swavideo lebih mudah. EVF pula dari jenis OLED dengan 2.36 juta titik. Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh aloi magnesium dengan berat keseluruhan tanpa lensa mencecah 500 gram. Tubuh kamera sangat kompak tetapi masih mempunyai bahagian grip yang besar.

Sony Alpha A6700 dijual bermula Ogos pada harga of $1,400 untuk tubuh sahaja, $1500 dengan lensa 16-50mm dan $1800 dengan lensa 18-135mm. Harga tempatan akan kami laporkan sejurus selepas menerimanya daripada Sony Malaysia.