Carian
Intel Menghentikan Pelaburan Ke Dalam Komputer Kerdil NUC Mereka
July 13, 2023 Nazrin

Siri komputer kerdil Next Unit of Computing keluaran Intel merupakan sebuah usaha oleh syarikat tersebut untuk memperlihatkan bahawa cip pemprosesan mereka boleh digunakan dalam komputer dengan saiz yang padat tanpa perlu berkompromi dari segi prestasi.

Terkini, ia dilaporkan bahawa Intel akan menghentikan pelaburan ke dalam produk NUC ini, dengan pengumuman rasmi mengatakan bahawa produk NUC ini akan terus dibangunkan oleh rakan-rakan pembangun komputer yang lain selepas ini, dan bukan akan dihentikan pembangunan dan pengeluarannya secara terus.

Siri komputer kerdil NUC mula dikenali sebagai siri komputer kecil yang dilihat boleh dimuatkan di belakang sebuah paparan skrin, dan digunakan untuk pelbagai jenis tugas seperti kerja harian di pejabat dan rumah, digunakan sebagai komputer di kaunter pembayaran, sebagai pusat media hiburan padat di rumah dan sebagainya.

Siri NUC terakhir yang dikeluarkan oleh Intel sebelum ini merupakan siri NUC ke-13, termasuklah NUC 13 Bravo Canyon, NUC 13 Pro Arena Canyon dan NUC 13 Extreme Raptor Canyon yang mana kesemuanya menggunakan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 Raptor Lake.

Komen