Pada minggu lepas kami ada melaporkan bahawa PCI-SIG telah mengemaskini palam 12VHPWR mereka dengan sebuah palam baru yang dinamakan 12V-2×6 yang hadir dengan rekaan dan spesifikasi baru yang memastikan bahawa isu yang membelenggu palam 12VHPWR sebelum ini tidak berulang.
Ia dijangkakan sebelum ini bahawa palam ini hanya akan digunakan untuk kad-kad grafik keluaran akan datang, tetapi NVIDIA kini telah disahkan telah mengemaskini kad grafik paling berkuasa mereka, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4090 Founders Edition dengan palam terbaru ini secara senyap.
Banyak kad grafik tersebut sebelum ini dilihat hadir dengan masalah dimana bahagian palamnya cair akibat aliran tenaga yang tidak sekata, dan menyebabkan komponen ini menjadi panas. Dengan rekaan baru palam 12V-2×6 ini, ia diharap bahawa perkara ini tidak berulang lagi.
Ia juga telah dilaporkan bahawa kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 Founders Edition juga telahpun menggunakan palam ini sejak pelancarannya lagi, tetapi tidak diumumkan oleh pihak NVIDIA.
Setakat ini ia tidak diketahui lagi samada rakan pembangun kad grafik NVIDIA akan juga beralih menggunakan palam kuasa PCIe baru ini. Kelebihan sama pada palam 12VHPWR diperlihatkan, seperti penggunaan satu kabel sahaja yang masih boleh menampung aliran kuasa yang tinggi, tetapi jangkaan kami ialah ia sedang diuji terlebih dahulu sebelum dipasang pada kad-kad grafik mereka.