Carian
Google Bard Kini Boleh Bacakan Respon, Dan Menganalisa Imej
July 13, 2023 Aman

Google kini mengumumkan kemaskini kepada Google Bard, sekaligus menambah beberapa ciri baharu pada penawaran chatbot berasaskan kecerdasan buatan oleh Google.

Melalui kemaskini baharu yang ditawarkan bermula hari ini, yang menjadi fokus utama adalah keupayaan untuk menganalisa imej, selain turut membacakan respon kepada pengguna.

Google sebelum ini pada acara Google I/O telah memperlihatkan keupayaan menganalisa sesuatu gambar yang dimuat-naik ke Bard. Ia seterusnya boleh memberikan maklumat berkaitan dengan imej tersebut, selain membolehkan pencarian info tambahan berkaitan dengannya dilakukan.

Disamping itu, kini Google Bard turut menyertakan ciri untuk membacakan respon kepada anda. Ini sekaligus membolehkan anda melakukan multi-tugasan, dan sambil mendengar jawapan kepada persoalan yang ditanya.

Google Bard juga kini menambah sokongan untuk 40 bahasa, termasuk bahasa Tamil dan bahasa Cina. Namun, sokongan untuk bahasa Malaysia masih belum diperkenalkan buat masa ini.

Anda boleh mencuba Google Bard di laman bard.google.com.

Komen