Carian
Pra-tempahan Samsung Odyssey G9 Dibuka Dengan Diskaun Sebanyak RM2000
July 14, 2023 Nazrin

Beberapa minggu lalu kami telah melaporkan bahawa paparan skrin gaming ultra-lebar Samsung Odyssey G9 akan memasuki pasaran tempatan pada bulan ini dengan harga RM9499 untuk model tanpa sistem operasi Tizen dan RM9999 untuk model dengan sistem operasi tersebut.

Terkini, pengedar rasmi paparan skrin tersebut, Sun Cycle telah mengatakan bahawa pra-tempahan untuk paparan skrin ini sudahpun bermula sejak 10 Julai sehingga 23 Julai ini, dan untuk tempoh ini, setiap tempahan Samsung Odyssey G9 akan melayakkan pembeli untuk diskaun sebanyak RM2000, menurunkan harga paparan tersebut kepada RM7499 dan RM7999.

Samsung Odyssey OLED G9 dilengkapi skrin 49-inci QHD dengan nisbah 32:9 dan lengkungan 1800R. Panel adalah dari keluarga quantum dot OLED dengan kadar segar semula mencecah 240Hz. Walaupun ia sebuah monitor gaming, ia turut merangkap monitor pintar dengan sistem operasi Tizen OS.

Ini bermakna bahawa aplikasi seperti Netflix, YouTube dan Prime Video boleh dimuat turun dan digunakan tanpa OLED G9 disambungkan kepada sebuah PC. Ia turut hadir dengan Samsung Gaming Hub yang membolehkan perkhidmatan penstriman video Xbox dan NVIDIA GeForce Now diakses secara terus.

Ia kemudiannya akan dibuka untuk jualan umum pada tanda harga asal bermula 24 Julai ini. Jika anda berminat untuk menempah paparan ini, anda boleh ke kedai fizikal Sun Cycle Malaysia ataupun pengedar-pengedar mereka yang lain untuk mendapatkannya.

Komen