Carian
Laman Daftar Minat BYD Dolphin Dibuka, Akan Dilancarkan Di Malaysia Pada Hujung Bulan Ini
July 14, 2023 Nazrin

Di waktu Malaysia akhirnya mendapat perhatian daripada Tesla dengan pengumuman mengenai penawaran kenderaan Tesla Model Y mereka yang sudah dibuka pra-tempahannya, sebuah lagi jenama kenderaan elektrik, BYD juga mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah lagi kenderaan elektrik di pasaran tempatan.

Terkini, laman daftar minat untuk BYD Dolphin, kenderaan elektrik “mampu milik” jenama kenderaan elektrik dari China tersebut telah dibuka, dan dengannya pengesahan bahawa ia akan dilancarkan di pasaran tempatan secara rasmi pada 23 Ogos ini melalui BYD Sime Darby, pengedar rasmi jenama tersebut.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi apakah variasi BYD Dolphin yang akan dibawa masuk ke pasaran tempatan, tetapi berdasarkan apa yang dilaporkan oleh Soya Cincau, terdapat kemungkinan bahawa variasi Standard Range dan Extended Range akan dibawa masuk ke pasaran tempatan, seperti apa yang dilakukan oleh BYD untuk pasaran Thailand.

BYD Dolphin Standard Range tampil dengan motor yang mempunyai kuasa tork 180Nm dan boleh memecut dari 0-100KM/J dalam masa 12.3 saat. BYD Dolphin Extended Range pula hadir dengan motor yang mempunyai kuasa tork 350Nm dan boleh memecut dari 0-100KM/J dalam masa tujuh saat sahaja.

BYD Dolphin Standard Range hadir dengan bateri 44.9kWh dan mempunyai jarak WLTP (Worldwide Harmonized Light Vehicles Test Procedure) sejauh 340KM, manakala model Extended Range mempunyai kapasiti bateri 60.48kWh dan jarak WLTP 427KM.

Kedua-dua model BYD Dolphin juga menyokong pengecasan AC 7kW pada asasnya yang boleh mengecas kenderaan ini dari kosong ke penuh dalam sekitar 7-8 jam, tetapi model Standard Range menyokong pengecasan DC 60kW, manakala model Extended Range menyokong pengecasan DC 80kW yang lebih pantas, dengan kebolehan untuk mengecas bateri kenderaan ini dari 20 peratus ke 80 peratus dalam masa sekitar 33 minit.

Keunikan bateri BYD Blade Battery yang digunakan didalam kenderaan ini ialah ia direka untuk memuatkan lebih banyak sel lithium besi fosfat yang bukan sahaja didalamnya, tetapi susunannya juga memastikan bahawa bateri ini kekal teguh, membolehkannya tampil dengan jarak yang lebih jauh dan tahan lasak untuk sebuah kenderaan elektrik didalam kelas ini.

Sama seperti banyak kenderaan elektrik sekarang, ia juga tampil dengan paparan skrin sesentuh besar yang merumahkan pelbagai ciri-ciri kenderaan ini, termasuklah sistem inforia yang terbina. Ia juga boleh diubahsuai dalam kedudukan menegak dan mendatar, bergantung kepada corak penggunaan anda.

Ia juga menggunakan platform kenderaan elektrik e-Platform 3.0 yang dibangunkannya sendiri yang membolehkan BYD Dolphin dijadikan sebuah kenderaan elektrik yang bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga cekap dalam penggunaan tenaga, dan mudah dibangunkan untuk pengeluaran secara besar-besaran.

Buat masa ini, sama seperti model yang dibawa masuk, butiran mengenai harga BYD Dolphin ini juga masih tidak diketahui lagi, dan dijangka akan didedahkan sewaktu acara pelancaran rasminya.

Komen