Kerajaan Merancang Untuk Memasang Starlink Pada Pusat Pengajian Tinggi – Internet Melalui Satelit
Aman
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini mengumumkan perancangan untuk mendapatkan sekitar 40 peranti Starlink yang disediakan oleh syarikat milik Elon Musk, dan memasangnya untuk penggunaan pada institusi pengajian tinggi.

Perancangan ini telah dibincangkan bersama ketika pertemuan dengan Elon Musk baru-baru ini. Starlink merupakan perkhidmatan dibawah SpaceX, yang membolehkan internet dipancarkan melalui satelit, sekaligus memudahkan pengguna menggunakan perkhidmatan internet walaupun di kawasan pedalaman.
Starlink juga dijangka akan digunakan untuk perkhidmatan internet di kawasan pedalaman dan luar bandar yang sukar mendapat akses internet. Penyertaan Starlink ini dijangka akan terus meningkatkan kadar liputan internet di dalam negara.
Setakat ini, Starlink masih tidak ditawarkan secara rasmi di Malaysia, walaupun laman rasminya menyatakan akan hadir pada suku kedua 2023 ini (yang mana kini telah memasuki suku ketiga). Harga penawaran tempatan juga masih tidak diketahui buat masa ini.

Alternatif untuk Starlink di Malaysia adalah perkhidmatan seperti ConnectMe yang menawarkan akses internet melalui pancaran satelit pada kelajuan mencapai 100Mbps. Buat masa ini, ConnectMe sedia digunakan di kawasan pedalaman di Malaysia.