ASUS Mengesahkan Isu Berkenaan Pembaca Kad SD ROG Ally Yang Rosak Kerana Suhu Tinggi
Nazrin
Konsol mudah-alih ROG Ally merupakan salah sebuah produk keluaran syarikat teknologi tersebut yang sangat ditunggu dan dimahukan oleh orang ramai. Saiznya yang padat, digabungkan dengan cip pemprosesan yang dibangunkan khusus untuk konsol ini menjadikannya sebuah “komputer gaming” yang mudah dibawa kemana-mana, walaupun dibandingkan dengan sebuah komputer riba gaming.

Terkini, terdapat sejumlah pengguna yang mengadu bahawa pembaca kad SD ROG Ally didapati rosak setelah konsol tersebut digunakan untuk sejumlah masa yang lama. Menurut Whitson Gordon, seorang pengurus pemasaran di ASUS, ASUS telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa terdapat kebarangkalian bahawa pembaca kad SD peranti tersebut boleh rosak akibat suhu yang tinggi apabila menggunakan konsol tersebut.
Perkara ini dilihat berlaku kerana slot kad MicroSD tersebut dipasang berdekatan dengan komponen cip VRM bekalan kuasa yang mengalirkan tenaga elektrik kepada komponen APU AMD Ryzen Z1 yang menguasakan konsol ini.

Cip VRM merupakan salah satu komponen yang mempunyai suhu tertinggi dalam mana-mana komponen elektronik kerana ia mengawal tahap voltan yang dialirkan kepada komponen-komponen lain didalam mana-mana peralatan elektronik. Secara teknikalnya sebuah kad MicroSD boleh menahan suhu sehingga 85 darjah Celcius, tetapi pembaca kad SD tersebut mungkin tidak boleh menahan haba tersebut untuk jangka-masa yang lama, dan menyebabkan kerosakan kepada pembaca dan juga kad tersebut.
ASUS mengatakan bahawa mereka akan hadir dengan kemaskini perisian yang akan membolehkan kipas ROG Ally untuk bertiup dengan lebih kuat untuk mengurangkan suhu cip VRM tersebut. Tetapi sehingga kemaskini tersebut tiba, tidak banyak yang boleh dilakukan selain tidak menggunakan kad SD buat masa ini.

Whitson juga telah mengatakan bahawa untuk masa ini, para pemilik ROG Ally (kebarangkalian untuk pengguna Amerika Syarikat buat masa ini) boleh menghantar peranti mereka untuk pembaikpulihan RMA sekiranya mereka mendapati bahawa pembaca kad SD ROG Ally mereka menghadapi masalah ini.
Kami telah bertanya kepada pihak ASUS Malaysia samada para pemilik ROG Ally tempatan boleh membaikpulih konsol mereka sekiranya ia didapati bahawa konsol mereka mempunyai masalah yang sama, dan kami akan kemaskini artikel ini dengan kenyataan rasmi mereka.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]