Semakin hari semakin banyak telefon pintar dengan kamera 200MP dilancarkan. Sejak bulan lepas saya telah menguji dua peranti iaitu HONOR 90 dan realme 11 Pro+ yang menggunakan kamera 200MP. Kedua-dua mempunyai keunikan tersendiri membuatkan ramai tertanya telefon mana satu sepatutnya menjadi pilihan. Dalam artikel ulasan ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan HONOR 90 dan kenapa ini adalah telefon kelas pertengahan premium yang patut anda miliki.
SPESIFIKASI
HONOR 90 | |
---|---|
Skrin | 6.7″ AMOLED, 1.5K, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition (4nm) |
Cip | 1x 2.5 GHz Cortex-A710 3x 2.36 GHz Cortex-A710 4x 1.8 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 644 |
RAM | 12GB + 7GB Maya |
Muatan Dalaman | 256/512 GB |
Kamera Utama | 200MP f/1.9 OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar/Makro) 2MP f/2.4 (Kedalaman) Hi-Res, HDR, Solo cut |
Kamera Swafoto | 50 Megapixel f/2.4 |
Bateri | 4900 mAh Pengecasan berwayar 66W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 1799 (12/256 GB) RM 2099 (12/512 GB) |
SKRIN
Skrin 6.7-inci AMOLED dengan resolusi 2664×1200 piksel, menyokong kadar segar semula 120Hz, dan juga HDR10+. Peranti ini disahkan boleh memainkan kandungan HDR10+ di Netflix dan juga Prime Video yang mana dalam ujian saya ia sangat terang dan memberikan pengalaman menonton menghampiri peranti mercu.
Menjadikan skrin peranti ini lebih menarik adalah sokongan suhu warna dan mod malam Circadian. Mod ini boleh memastikan mata pengguna tidak sakit ketika menggunakan peranti di waktu malam atau dalam suasana yang gelap. Bukan itu sahaja, HONOR turut menegaskan yang skrin peranti ini lebih selamat kerana menerima pengiktirafan TUV Rheinland dengan sokongan bebas berkelip.

Sokongan 120Hz pada peranti ini lancar dan pantas tidak seperti realme 11 Pro+. Walaupun tidak menggunakan panel LTPO, ia masih boleh berubah mengikut kandungan yang terpapar dengan algoritma pada MagicOS 7.1. Menatal skrin ini tiada masalah langsung dan sepanjang penggunaan saya tidak alami sebarang masalah lengah masa.

HONOR 90 turut menggunakan skrin kuad-melengkung seperti Huawei di mana ia bukan setakat melengkung di kedua-dua sisi tetapi setiap bucu juga. Menonton video pada peranti ini tidak menjengkelkan kerana skrin melengkung ini, tetapi saya tidak menggemarinya kerana bezel yang tidak sekata.
PENGIMBAS CAP JARI
Pengimbas cap jari HONOR 90 berada di dekat dengan dagu skrin tetapi saya rasakan bentuk peranti membuatkan ia lebih selesa digunakan berbanding peranti pesaing. Pengimbas cap jari bawah skrin peranti ini juga antara yang paling pantas dalam kelasnya. Walaupun jari saya kotor ia masih boleh mengimbas dengan baik. Alternatif adalah imbasan wajah menggunakan kamera swafoto yang juga ultra pantas.

REKAAN
HONOR 90 sekali pandang kelihatan menggunakan rekaan yang klise. Tetapi jika diteliti rekaan peranti ini sebenarnya cukup unik. Dua bonggol kamera di belakang kelihatan seperti sepasang mata yang menegak. Kemudian untuk unit saya yang berwarna Peacock Blue panel belakang menggunakan corak seakan bulu burung merak dengan warna cerun yang berubah warna mengikut cahaya yang disuluh pada tubuh peranti.

Skrin melengkung jelas sekali dipilih untuk menampakkan lagi ciri sebuah peranti premium. Bezel yang tidak begitu nipis tetapi cukup sekata dan kandungan yang dipaparkan tidak mengganggu penggunaan. Terdapat lubang pada tengah atas untuk kamera swafoto, betul-betul di bahagian bezel atas ada kekisi untuk gagang telefon.


Di atas peranti pula terdapat lubang mikrofon, satu lagi lubang sama di bahagian bawah bersama-sama dengan kekisi speaker, slot kad SIM dan port USB-C. Sisi kanan peranti dilengkapi dengan semua butang kuasa dan butang laras suara sementara tiada apa-apa di sisi kiri.

HONOR 90 menawarkan tiga pilihan warna di Malaysia. Setiap warna mempunyai corak berbeza seperti Emerald Green dengan warna cerun hijau dengan kemasan kusam dan warna Diamond Silver pula seakan dwi-tona kosong di atas, di bawah corak seakan kain songket dengan tekstur yang timbul.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – REALME UI 4.0
Seperti peranti HONOR lain di Malaysia, HONOR 90 juga menjalankan MagicOS 7.1 berasaskan Android 13. Tidak dinafikan secara keseluruhan pengalaman penggunaan masih mirip menggunakan peranti EMUI dari Huawei. Walaupun begitu MagicOS dilengkapi dengan aplikasi-aplikasi dan perkhidmatan Google serta turut cuba mengintegrasikan banyak ciri Android stok.

Pada hemat saya mereka yang biasa menggunakan peranti EMUI atau peranti HONOR sebelum ini akan mudah untuk menerokai ciri dan fungsi menarik HONOR berikan dalam MagicOS. Rekaan antaramuka adalah ke arah warna-warni dan ceria. Pengalaman penggunaan pula cukup menarik, pantas dan lancar.
Sebelum ini saya telah menguji Huawei Mate X3 dan menggunakan HONOR 90 ini memberikan pengalaman lebih kurang sama. Banyak ciri dan fungsi lebih kepada penjenamaan semula sahaja menampakkan MagicOS 7.1 sebagai satu produk global yang sesuai untuk semua orang.

Walaupun begitu HONOR masih cuba memberikan identiti tersendiri dengan cuba menawarkan ciri dan fungsi lebih kurang sama pada Android stok atau peranti pesaing dengan iterasi mereka. Ini membuatkan MagicOS 7.1 lebih seronok digunakan tidak seperti Oxygen OS, Color OS dan realme UI yang lebih kurang sama sahaja dengan beza hanya terletak pada nama.

Ciri-ciri dan pelbagai fungsi menarik yang saya gemar pada peranti ini adalah seperti berikut;
- HONOR Connect & HONOR Share
- Tambatan pantas dengan produk HONOR lain dan ciri perkongsian fail yang efisien untuk antara peranti HONOR.
- Mod paparan Circadian
- Suhu warna dan mod malam paparan yang mengikut piawaian Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).
- Smart Resolution
- Resolusi skrin pintar yang berubah mengikut kandungan untuk menjimatkan bateri peranti. Boleh berubah dari 1998 x 900, 2442 x 1100 dan ke 2664 x 1200.
- Rhythm to your heart
- Ciri nada dering yang mengumpulkan tema seperti HONOR, Nature, Futuristic dan banyak lagi. Setiap tema lengkap dengan nada dering, bunyi mesej masuk, bunyi penggera dan bunyi notifikasi lain.
- YOYO
- Perkhidmatan yang dikuasakan enjin AI tersendiri. Boleh mencadangkan aplikasi dan sokongan Magic Text.
- Magic Text adalah untuk salin teks dari gambar, tekan teks untuk akses pantas dan banyak lagi.

PENANDA ARAS – Snapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition
Bermain permua pada peranti ini bukanlah satu pengalaman terbaik. Ia mempunyai masalah lebih kurang sama pada realme 11 Pro+, di mana peranti mudah memanas dan berlaku lengah masa. Tetapi lengah masa pada peranti ini tidak teruk ia hanyalah kerana MagicOS 7.1 yang sedikit berat dan dimuatkan dengan banyak aplikasi sistem yang berjalan di latar.
Ketika bermain Asphalt 9, Marvel SNAP dan COD Mobile peranti masih mampu mengendalikan grafik tinggi dengan baik. Walaupun spesifikasi cip Snapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition ini lebih kurang sama dengan 8+ Gen 1, ia ada masalah memanas tidak seperti cip mercu abangnya.

Dalam ujian penanda aras, HONOR 90 sudah mula memanas selepas sekitar 3 minit ujian dilakukan. Aplikasi penanda aras yang saya gunakan adalah seperti biasa iaitu Geekbench 6, AnTuTu 3D dan 3DMark.
Cip Snapdragon 7 Gen 1 mempunyai kemampuan seakan Dimensity 7200 pada Vivo V27 dan sedikit lebih rendah berbanding Snapdragon 7+ Gen 2 yang digunakan pada Poco F5. Walaupun di atas kertas Honor 90 mempunyai kemampuan seakan iQOO Z7 dengan cip Snapdragon 782G, Z7 tewas pada AnTuTu 3D dan 3DMark.

Peranti ini dilihat mempunyai skor yang cukup munasabah. Berikut adalah apa yang aplikasi penanda aras catatkan;
Geekbench 6
- HONOR 90 – 942/2,783
- Realme 11 Pro+ – 946/2382
- Poco F5 – 1,371/4,160
- Vivo V27 – 1,201/2,699
- iQOO Z7 – 1,125/3,001
AnTuTu 3D
- HONOR 90 – 647,459
- realme 11 Pro+ – 562,446
- Poco F5 – 892,358
- Vivo V27 – 624,369
- iQOO Z7 – 588,831
3DMark
- HONOR 90 – 861
- realme 11 Pro+ – 562,446
- Poco F5 – n/a
- Vivo V27 – 1,158
- iQOO Z7 – 808
TELEFONI Dan GPS
Untuk panggilan telefon peranti ini mempunyai prestasi seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan premium iaitu baik-baik sahaja. Sambungan data mudah-alih pula cukup seimbang dengan 4G yang stabil dan 5G bergantung kepada kawasan. Setakat penggunaan saya, kad SIM Maxis masih belum menyokong 5G tetapi sambungan 4G cukup pantas dan jarang isyarat rendah. GPS pula cukup pantas mengunci lokasi tidak kira pada Waze atau Google Maps memudahkan saya menggunakan peranti ini ketika melancong.

KAMERA
HONOR 90 dilengkapi dengan tri-kamera di belakang yang menggabungkan sensor 200MP Ultra Clear Camera, f/1.9, sudut lebar + 12MP, f/2.2, sudut ultra lebar/makro + 2MP, f/2.4, sensor kedalaman dan kamera swafoto 50MP. Aplikasi kamera turut dilengkapi dengan banyak ciri AI baharu seperti AI Vlog Assistant, AI Video Quality Enhancement, menyokong mod HDR tersendiri, boleh ambil gambar mod resolusi tinggi dan banyak lagi ciri menarik.

Berikut adalah beberapa sampel yang cukup cantik, terang dengan butiran terpelihara dihasilkan oleh kamera HONOR 90. Setiap warna juga naik dan nampak tajam.



Mod malam, zum digital 2x dan swafoto potret turut memberikan hasil yang memberangsangkan. Saya amat suka warna HONOR yang ke arah warna yang mata saya nampak di dunia nyata serta fokus yang baik. Masalah timbul hanyalah ketika menggunakan kamera, viewfinder tidak memaparkan hasil sebenar.







Untuk rakaman video, HONOR 90 mempunyai kualiti yang sedikit baik untuk peranti dalam kelasnya. Tetapi perkongsian di media sosial masih tidak memuaskan. Menariknya HONOR turut menyertakan ciri AI untuk suntingan seperti Solo Cut yang memudahkan video dan gambar disunting menjadi satu video lengkap dengan kapsyen dan penuran untuk Reels atau TikTok.
BATERI
Bateri HONOR 90 adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W HONOR SuperCharge. Teknologi pengecasan ini boleh mengecas peranti dari 0% – 60% dalam masa 20 minit. Pengecasan adalah melalui kabel USB-A ke USB-C yang mana kedua-dua kabel dan palam pengecas disediakan di dalam kotak. Dukacita dimaklumkan tiada sokongan pengecasan nirwayar atau nirwayar berbalik pada peranti ini.

Untuk ketahanan bateri pula HONOR 90 tiada masalah untuk mencapai sehingga 8 jam SOT penggunaan ringan dalam masa hampir dua hari dan sekitar 6 jam SOT penggunaan berat dalam masa satu hari penuh. Ini adalah prestasi bateri yang boleh dipuji kerana cukup bagus walaupun kurang 100mAh berbanding pesaing di pasaran.
AUDIO
Banyak yang bagus pada peranti ini tetapi sampai ke audio HONOR 90 terus mengecewakan. Ini kerana harga peranti yang mencapai RM2000 tetapi masih menggunakan speaker mono. Malah teknologi Histen yang selalu digunakan juga tidak diintegrasikan dalam MagicOS 7.1. Tidak dinafikan speaker peranti ini sedap, lantang dan mempunyai dentuman yang baik ketika menonton video atau bermain permua. Untuk telinga saya apabila audio tidak seimbang saya terus menjadi geram dan memaksa saya menggunakan TWS sepanjang masa.

PESAING
HONOR 90 | Realme 11 Pro+ | iQOO Z7 |
6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz | 6.64″ IPS LCD, FHD+, 120Hz |
Snapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition (4nm) 1x 2.5 GHz Cortex-A710 3x 2.36 GHz Cortex-A710 4x 1.8 GHz Cortex-A510 | Dimensity 7050 (6nm) 2x 2.6 GHz Cortex-A78 6x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 782G (6nm) 1x 2.7 GHz Cortex-A78 3x 2.4 GHz Cortex-A78 4x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Adreno 644 | Mali-G68 MC4 | Adreno 642L |
12GB LPDDR5 7GB Maya | 8/12 GB LPDRR5 | 8/12 GB LPDDR4x |
512 UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 3.1 | 128/256 UFS 2.2 |
Kamera Utama 200MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar/Makro) 2MP f/2.4, (Kedalaman) Hi-Res, HDR, Solo cut | Kamera Utama 200MP f/1.69, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Makro) Street Photography Mode, One Take, Super NightScape | Kamera Utama 64MP f/1.79, OIS (Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Kedalaman) Micro Movie, Dynamic Photo, Supermoon |
Kamera Hadapan 50-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.46 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.45 |
Tiada | Tiada | Tiada |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Mono | Audio Stereo | Audio Mono |
4900 mAh (Berwayar 66W) | 5000 mAh (Berwayar 100W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
RM 1799 (12/256 GB) RM 2099 (12/512 GB) | RM 1499 (12/256 GB) RM 1999 (12/512 GB) | RM 1299 (8/128 GB) RM 1499 (12/256 GB) |
DALAM KOTAK
Berikut adalah apa yang ada dalam kotak untuk unit ujian HONOR 90;
- 1x Honor 90.
- 1x Pengecas 66W HONOR SuperCharge
- 1x Kabel USB-A ke USB-C
- 1x Pin SIM.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Buku panduan dan keselamatan.
KESIMPULAN
Selepas menggunakan tiga telefon pintar dengan kamera 200MP sejak tahun lepas iaitu Xiaomi 12T Pro, kemudian tahun ini realme 11 Pro+ dan HONOR 90 – setakat ini dari segi kamera pada saya Xiaomi masih yang terbaik walaupun ada masalah pada sistem kecerdasan buatan kamera. Untuk HONOR 90 walau bagaimanapun ia lebih baik jika dibandingkan dengan realme 11 Pro+.
HONOR jelas sekali amat serius untuk cuba memikat orang ramai menggunakan peranti mereka. Harga jualan juga kompetitif iaitu bermula RM1799. Dengan skrin berkualiti, spesifikasi cip hampir sama dengan Snapdragon 8+ Gen 1, bateri yang tahan lama dan rekaan yang seksi – HONOR 90 adalah peranti kelas pertengahan premium yang patut anda miliki.

Tidak dinafikan MagicOS 7.1 masih ada persamaan dengan EMUI, tetapi penggunaan harian menjadi lebih seronok dengan adanya GMS. Jika anda ingin cari peranti sekitar RM2000 dengan skrin yang memuaskan dan pasti mata akan sihat HONOR 90 adalah peranti yang patut anda pilih.
Pro
- Skrin cantik, terang dan pantas.
- Kamera 200MP yang ada potensi tinggi.
- Rekaan menarik dan unik.
- Kamera swafoto 50MP.
- MagicOS 7.1 yang padat dengan ciri/fungsi menarik.
Kontra
- Rekaan MagicOS 7.1 yang masih mirip EMUI.
- Pengecasan 66W tidak sepantas peranti pesaing.
- Viewfinder kamera tidak memaparkan hasil sebenar.
