Laman Web Brutman Labs Digerakkan Komputer IBM PCjr Berumur 39 Tahun
Nazrin
Tatkala dunia sedang bergerak kehadapan dengan teknologi perkomputeran yang lebih maju, berkuasa dan cekap, masih terdapat satu subset peminat tegar teknologi yang menggunakan komputer-komputer zaman dahulukala sebagai bukti bahawa teknologi kuno tidak semestinya tidak lagi boleh digunakan.

Laman web Brutman Labs merupakan sebuah laman web yang memaparkan pelbagai tutorial dan maklumat menarik berkaitan penggunaan teknologi dan kelengkapan komputer lama, dan laman web tersebut, BrutmanLabs.org baru-baru ini mengeluarkan pengumuman baru yang mengatakan bahawa ia telah beroperasi dengan masa operasi tanpa henti 2,500 jam, bersamaan sekitar 104 hari tanpa perlu memulakan semula mesin pelayannya.
Apa yang lebih menarik ialah komputer yang digunakan sebagai mesin pelayan laman web ini merupakan sebuah IBM PCjr yang dilancarkan pada 1984, menjadikan komputer tersebut berumur 39 tahun. IBM PCjr ini dikuasakan oleh sebuah cip pemprosesan NEC V20, memori RAM sebanyak 734KB, dengan storan SSD SATA 240GB yang disambung menggunakan penyesuai IDE.

Untuk menyambungkan komputer ini ke internet, Michael Brutman menggunakan perisian tindanan mTCP yang diaturcara dirinya sendiri, dan boleh digunakan oleh sesiapa pun jika mereka mahu melakukan perkara yang sama dengan komputer lama mereka.
Komputer ini juga menggunakan sistem operasi DOS, diantara sistem operasi terawal di dunia yang dicipta pada tahun 1981. Laman web Brutman Labs direka untuk menyerupai kebanyakan laman web yang dibangunkan di era awal 1990an, dan tidak memakan begitu banyak sumber.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]