Carian
Threads Dikatakan Bakal Menyokong Ciri Pemesejan Tidak Lama Lagi
July 17, 2023 Amy Maizuraa

Tidak dinafikan aplikasi Threads bermula cukup baik dengan mengecap populariti luar biasa sejak pengenalannya awal Julai yang lalu. Sehingga kini aplikasi ini mempunyai lebih daripada 100 juta pengguna berdaftar dengan hanya mengambil masa kira-kira 5 hari. Namun masih terdapat banyak kelemahan pada aplikasi yang menjadi perhatian ramai dan salah satu daripadanya ialah berkaitan ciri pemesejan atau dalam bahasa mudahnya DM yakni Direct Message.

Pada mulanya Adam Mosseri yang merupakan ketua pegawai eksekutif Instagram mengatakan bahawa, ciri berkenaan tiada dalam perancangan terdekat pihaknya. Sebaliknya fokus mereka sekarang lebih kepada sokongan susur masa kronologi, sokongan tagar dan multi-akaun yang akan diberikan dalam masa terdekat. Namun tertirisnya memo baharu yang memetik salah satu laporan terkini PhoneArena melalui Business Insider seakan memberi bayangan ciri DM juga bakal menyusul sama.

Penawarannya juga boleh menjadi lebih awal daripada yang dijangkakan. Namun tiada jangka masa khusus pelancarannya yang diketahui buat masa ini. Kewujudannya kelak juga memudahkan ramai pihak khususnya pengguna yang perlu berkomunikasi secara peribadi dalam aplikasi Threads. Selain turut menjadikan Threads lebih komprehensif dan mesra pengguna.

Komen