Meta, syarikat disebalik Facebook sedia membangunkan teknologi kecerdasan buatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terkini, hari ini Meta mengumumkan penawaran model bahasa raya generasi baharu mereka, iaitu Llama 2.

Menariknya adalah model bahasa raya ini ditawarkan dalam bentuk terbuka dan percuma untuk penggunaan penyelidikkan dan juga untuk penggunaan komersil. Dengan langkah ini, ia membolehkan model ini digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk dalam pembangunan produk dan integrasi pada produk-produk sedia ada.
Meta turut menawarkan ia melalui Azure AI dibawah Microsoft untuk memudahkan pembangunan, dan turut kelak akan ditawarkan melalui Hugging Face dan juga Amazon AWS.
Ia agak menarik untuk melihat Meta menawarkan ia secara terbuka kepada pelbagai pihak, berbeza dengan OpenAI yang menggunakan model pelesenan.
Dengan penawaran ini, sama-sama kita saksikan pelbagai perkembangan melaluinya, dan bagaimana pembangunan kecerdasan buatan terkawal apabila ia ditawarkan secara terbuka. Sebelum ini, ramai yang risau penawaran sesuatu model secara terbuka akan membawa bahaya dan disalah guna segelintir pihak.
Bagi yang berminat dalam pembangunan kecerdasan buatan, boleh menyemak penawaran Llama 2 hari ini di laman rasmi Meta.