Carian
Siri realme 11 Pro 5G Kini Rasmi Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM1499
July 20, 2023 Fahim Zahar

Realme Malaysia hari ini akhirnya melancarkan dua telefon pintar baharu mereka iaitu realme 11 Pro 5G dan realme 11 Pro+ 5G. Kedua-dua peranti ini adalah peranti kelas pertengahan premium yang menerima sentuhan GUCCI pada rekaan dan memfokuskan fotografi.

Realme 11 Pro+

Skrin peranti ini menggunakan panel AMOLED bersaiz 6.7″ beresolusi FHD+ dan menyokong kadar segar semula 120Hz. Skrin turut menyokong paparan HDR10+ yang akan diaktifkan dalam kemas kini nanti.

Peranti ini adalah yang pertama dalam Malaysia menggunakan cip Dimensity 7050. Untuk memori realme 11 Pro+ menyokong memori 12GB RAM LPDDR5, RAM maya sehingga 12GB dan storan dalaman 512GB UFS 3.1.

Realme 11 Pro+ dimuatkan dengan bateri berkapasiti 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W SuperVOOC. Di belakang kamera peranti menggabungkan sensor 200MP ISOCCELL HP3 + 8MP sudut ultra-lebar + 2MP makro dan 32MP kamera swafoto.

Mod Street Photography popular mereka kini dikemaskini dengan ciri Auto-zoom, menyokong Starry Mode Pro dan One Take yang mengambil banyak gambar serentak untuk digabungkan menjadi hasil yang terbaik.

Peranti ini turut menyokong rangakain 5G, WiFi 6, Bluetooth 5.2 dan NFC. Untuk audio, speaker yang digunakan adalah jenis stereo Dolby Atmos. Peranti menjalankan sistem operasi realme UI 4.0 berasaskan Android 13.

Realme 11 Pro

Peranti ini mempunyai spesifikasi lebih kurang sama sahaja. Skrin juga 6.7″ AMOLED FHD+ 120Hz HDR10+, cip Dimensity 7050 yang dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Bateri kekal sama iaitu 5000mAh tetapi pengecasan yang lebih perlahan kepada 67W SuperVOOC.

Untuk kamera realme 11 Pro hanya menyokong 100MP + 2MP di belakang dan kamera swafoto 16MP. Walaupun begitu ciri pada aplikasi kamera masih sama termasuk dengan Street Photography + Auto-zoom.


Kedua-dua peranti realme 11 Pro+ dan realme 11 Pro menggunakan panel belakang kulit palsu yang direka oleh bekas pereka GUCCI. Ia mempunyai tekstur nyaman 3D serta kesan jahitan seakan berjalur yang ikonik pada produk beg tangan mereka.

Di Malaysia realme 11 Pro+ hanya menawarkan variasi 12/512 GB pada harga RM1,999. realme 11 Pro pula terhad kepada variasi 8/256 GB pada harga RM1,499. Kedua-dua peranti mempunyai dua pilihan warna sama ada Oasis Green atau Sunrise Beige kecuali realme 11 Pro yang ada pilihan warna hitam.

Jualan di Malaysia akan bermula pada 21 Julai di kedai atas talian Shopee, Lazada, TikTok rasmi mereka untuk menerina percuma realmeow serta jaminan tambahan 6 bulan dan di pengedar-pengedar sah yang lain.

Komen