Carian
Realme Watch 3 Pro Dan Buds Air 5 Pro Turut Dilancarkan Dengan Harga Bermula RM399
July 20, 2023 Fahim Zahar

Selain realme 11 Pro dan realme 11 Pro+, di acara pelancaran yang diadakan di Pulau Redang hari ini realme Malaysia turut melancarkan jam tangan pintar asas mereka realme Watch 3 Pro dan set fon telinga nirwayar sebenar realme Buds Air 5 Pro.

Realme Watch 3 Pro adalah jam tangan pintar asas yang dilancarkan pada Disember tahun lalu. Jam ini hadir dengan skrin 1.78″ AMOLED (368 x 448), ketahanan bateri mencapai 10 hari dan menyokong lebih 100 mod sukan. Jam ini turut boleh mengimbas nadi, membaca data SpO2 serta turut menyokong beberapa ciri jam tangan pintar seperti notifikasi telefon, penggera, kebolehan menukar muka jam, mengawal kamera dan banyak lagi.

Realme Buds Air 5 Pro pula adalah TWS premium mampu milik mereka. Ia hadir dengan dua pemacu audio 11mm woofer + 6mm planar, 6 mikrofon, menyokong pembatalan hingar aktif dan juga menyokong codec LDAC. Buds Air 5 Pro turut menyokong Bluetooth 5.3, perlindungan air IPX5 dan ketahanan bateri mencapai 40 jam.

Di Malaysia realme Watch 3 Pro dijual pada harga RM429 dan Buds Air 5 Pro pula pada harga RM399. Jualan turut akan bermula pada 21 Julai ini.

Komen