Tesla hari ini secara rasminya telah mengumumkan penyertaan mereka dalam arena kenderaan elektrik di Malaysia, dan sekaligus mengumumkan penawaran Tesla Model Y untuk pasaran tempatan.
Tesla Model Y hadir dalam tiga variasi berbeza, iaitu Model Y Rear-Wheel Drive, Model Y Long Range, dan juga Model Y Performance. Ketiga-tiga model ini akan dipertontonkan kepada umum di Pavilion KL sehingga 31 Oktober 2023.
Tesla Model Y boleh ditempah secara terus melalui laman Tesla, ia dijual pada harga bermula RM199,000 untuk model paling asas dan meningkat ke RM246,000 untuk model Long Range dan RM288,000 untuk Model Y Performance. Ini adalah untuk model-model dengan sistem Autopilot asas sahaja.
Untuk tambahan Enhanced Autopilot, pengguna perlu melakukan pembayaran tambahan sebanyak RM16,000, selain FSD pula memerlukan bayaran tambahan RM32,000. Semua tempahan yang dilakukan akan mula dihantar kepada pembeli bermula awal 2024 kelak.
Selari dengan pengumuman ini juga, Tesla mengumumkan bakal membuka Tesla Supercharger sebanyak 8 buah di Pavilion KL. Selain di Pavilion KL, Tesla juga menyasarkan untuk membuka ia secara berperingkat di kawasan-kawasan lain di seluruh negara.
Melalui Tesla Supercharger, ia akan membolehkan Model Y dicas untuk penggunaan sejauh 120km dalam masa hanya 5 minit sahaja.
Bagi anda yang berminat, boleh melakukan pra-tempahan Tesla Model Y ini dengan pembayaran tempahan RM1,000 di laman rasmi Tesla.