Penggodam Terkemuka Kevin Mitnick Meninggal Dunia
Effi Saharudin
Aktiviti serangan penggodam kini sudah menjadi lumrah dengan ia berlaku setiap hari. Tetapi di zaman awal rangkaian komputer, Kevin Mitnick ialah nama yang cukup dikenali ramai kerana mungkin adalah “bintang” pertama dunia penggodam. Mitnick telah meninggal dunia pada 16 Jlai lalu pada usia 59 tahun akibat kanser pankreas.

Nama beliau mula dikenali dunia pada tahun 1995 selepas beliau diburu oleh FBI kerana mengakses rangkaian komputer sebelum mencuri kata laluan dan perisian. Mendiang sudah memulakan aktiviti menggodam sejak 1979 pada usia 16 tahun. Hukuman penjara selama lima tahun dijatuhkan ke atas beliau disebabkan aktiviti menggodam.
Selepas dilepaskan daripada penjara, beliau dilarang daripada menggunakan komputer selama tiga tahun. Ini kemudiannya ditarik selepas Mitnick bersetuju tidak akan mengaut keuntungan dengan menjual buku dan filem berdasarkan kehidupan beliau selama tujuh tahun. Selepas tempoh tersebut beliau memulakan kerjaya sebagai perunding keselamatan menerusi syarikat sendiri dengan memegang jawatan Ketua Penggodam Utama.
[sumber] Digita Memorial [/sumber]