Apple boleh dikatakan agak tertinggal berbanding beberapa syarikat teknologi lain – terutamanya Google dan Microsoft dalam penawaran chatbot berasaskan kecerdasan buatan. Namun, Apple tidak meninggalkan sepenuhnya perkara tersebut, dan sedang membangunkan ia termasuk strategi tersendiri secara dalaman.
Menurut laporan Bloomberg, Apple sedang menguji chatbot berasaskan AI dengan sokongan generatif atau penjanaan – yang boleh memberikan maklumbalas atau menjana kandungan berasaskan kepada input pengguna. Secara dalaman, ia dinamakan sebagai Apple GPT.
Apple dikatakan membangunkan projek ini berasaskan rangka kerja Ajax yang sedia menjana pelbagai projek pembelajaran mesin dibawah Apple. Apple sedia mengintegrasikan sokongan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan pada produk seperti Siri dan Apple Maps. Kini, mereka turut sedang dalam pembangunan penawaran generatif, lebih kurang seperti ChatGPT.
Buat masa ini, Apple sekadar menguji ia secara dalaman dan tidak diketahui lagi bilakah akan diperkenalkan kepada umum. Apple dikatakan mungkin berkongsi sejumlah perkembangan melibatkan kecerdasan buatan pada tahun hadapan, 2024.