Carian
Menteri : CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile Dan YTL Akan Muktamadkan Pemegangan Saham Dalam DNB
July 21, 2023 Aman

Menteri Komunikasi dan Digital kini berkongsi perkembangan melibatkan Digital Nasional Berhad atau DNB. Melalui perkongsian terkini, ia dikongsikan yang mana CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL Communications (Yes) akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB. Info berkenaan pecahan ekuiti dan pelaburan yang diperlukan tidak dikongsikan lagi buat masa ini.

DNB Digital Nasional

Untuk makluman, sebelum ini penyertaan ekuiti ditangguhkan atau dibatalkan selepas pengumuman Malaysia akan beralih ke model dwi-rangkaian selepas DNB mencapai kadar liputan 80%. Ketika itu, syarikat telekomunikasi menyatakan perjanjian tersebut dibatalkan kerana telah melangkaui tempoh perbincangan yang ditetapkan, dan sebuah perjanjian baharu akan menyusul. Nampaknya, dibawah perjanjian baharu, semua syarikat telekomunikasi menyertai dan akan mengambil pegangan pada DNB.

Malah, Maxis dan U Mobile yang tidak menyertai pengambilan ekuiti pada DNB sebelum ini – kini berubah apabila kerajaan mengumumkan nama mereka sekali pada pengumuman kali ini.

Mengikut perkongsian kerajaan sebelum ini, komposisi pihak penyedia perkhidmatan dalam Entiti A (DNB) dan Entiti B akan diputuskan kelak. Jadi, kita mungkin melihat pembahagian dan pecahan ekuiti ketika itu nanti.

Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan apakah selanjutnya untuk DNB dan arena 5G di Malaysia.

Komen