Realme C51 Tertiris Dengan Ciri Mini Capsule – Melepasi Pengesahan SIRIM Di Malaysia
Amy Maizuraa
Realme dilihat dalam perancangan hadir dengan sebuah lagi peranti di bawah siri C. Ia berikutan tularnya dua gambar yag didakwa menunjukkan rekaan untuk Realme C51. Boleh dikatakan rekaannya adalah sama seumpama Realme C53 dengan gabungan tubuh dan skrin sejenis rata.

Kemasan dwi-tona dengan bahagian belakang yang berkilat digunakan pada peranti. Kemudian sistem dwi-kamera juga jelas kelihatan namun konfigurasinya tidak pula diketahui setakat ini. Peranti juga dikatakan menyokong ciri Mini Capsule yang berguna untuk pemantauan sejumlah notifikasi seperti data internet, kiraan tapak dan status pengecasan. Ia bagaimanapun bukan satu hal yang mengejutkan kerana peranti di bawah siri C bakal dilengkapi ciri tersebut.

Tiada maklumat lain yang didedahkan buat masa ini termasuklah perkakasan dalaman dan tarikh pelancaran rasmi. Namun semakan kami mendapati peranti juga telah melepasi pengesahan SIRIM di Malaysia yang memberi petanda pelancaran semakin hampir. Peranti ini telah didaftarkan oleh DTL Malaysia Sdn Bhd dengan kod nama RMX3830 sejak 3 Julai lalu.