Kolaborasi ROG Dan Evangelion Baru Memperlihatkan Komponen PC Bertemakan EVA-02
Nazrin
Kolaborasi jenama komponen PC ASUS ROG dan tajuk-tajuk anime bukanlah sesuatu yang baru, dan sebelum ini kita sudahpun memperlihatkan komponen-komponen ROG yang bertemakan robot EVA-01 dari siri anime Neon Genesis Evangelion.

Terkini, kedua-dua nama ini dilihat berkolaborasi sekali lagi, dan memperlihatkan komponen-komponen yang bertemakan robot EVA-02 pula yang dipandu oleh watak Asuka Langley. Ini termasuklah papan induk, kad grafik, penyejuk CPU, rangka komputer dan juga aksesori papan induk dan tetikus gaming bertemakan.

Komponen-komponen ini termasuklah ROG Maximus Z790 Hero EVA-02 Edition untuk siri CPU Intel Core generasi ke-13, kad grafik ROG STRIX GeForce RTX 4090 EVA-02 Edition, penyejuk CPU ROG Ryujin III 360 ARGB EVA-02 Edition, rangka PC ROG Hyperion EVA-02 Edition dan juga papan kekunci ROG STRIX Scope RX EVA-02 Edition dan tetikus ROG Gladius III EVA-02 Edition.
Buat masa ini, tanda harga untuk komponen dan aksesori ini masih belum diumumkan lagi, tetapi kami telah diberitahu oleh pihak ASUS Malaysia bahawa komponen dan aksesori baru ini akan memasuki pasaran tempatan kelak dan para peminat tegar siri anime Evangelion ini boleh membina sebuah komputer bertemakan EVA-02 ini di masa akan datang.