Carian
HP
HP Malaysia Memperkenalkan Siri Komputer Riba Gaming Omen Dan Victus Terbaru
July 25, 2023 Nazrin

HP Malaysia hari ini telah memperlihatkan kemaskini terbaru kepada dua siri komputer riba gaming mereka, iaitu Omen by HP dan juga Victus by HP. Kemaskini komputer riba ini dilihat memberikan fokus terhadap bukan sahaja permainan komputer video secara santai, tetapi juga untuk mereka yang mahu berkecimpung ataupun memasuki secara serius dalam arena e-sukan.

Bermula dengan Victus by HP 16, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin 16 inci yang mempunyai resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 Raptor Lake dan juga AMD Ryzen 7 7000. Bergantung kepada model yang dipilih, komputer riba ini juga dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA yang termasuklah pilihan sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070.

HP Omen 16 pula merupakan sebuah komputer riba gaming kelas premium yang tampil dengan paparan skrin 16 inci dengan resolusi QHD (2560×1440) dengan kadar segar semula 240Hz yang cukup pantas sekali. Siri komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan Intel Core i9 generasi ke-13 Raptor Lake ataupun AMD Ryzen 9 7000 yang terbaru. Sama dengan komputer riba Victus, ia juga hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070.

Bagi anda yang mahukan sebuah komputer riba gaming yang nipis dan ringan, HP Omen Transcend 16 mungkin untuk anda. Ia dilengkapi dengan paparan skrin Mini LED bersaiz 16 inci dengan resolusi WQXGA (2560 x 1600) dengan kadar segar semula 240Hz dan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9-13900HX bersama pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070.

HP Omen Transcend ini juga ialah komputer riba gaming ternipis mereka setakat ini dengan ketebalan 19.9mm sahaja. Ia juga mempunyai berat 2.01kg sahaja, yang membuatkannya cukup sesuai untuk dibawa kemana-mana untuk tujuan gaming.

Kesemua komputer-komputer riba ini juga hadir dengan sistem penyejukan Omen Tempest Cooling yang membantu komponen-komponen komputer riba ini untuk beroperasi pada kadar optimum sepanjang masa.

Ia juga dilengkapi dengan teknologi-teknologi seperti teknologi penghantaran data Thunderbolt 4 (untuk cip Intel) dan USB4 (untuk cip AMD), WiFi 6, Bluetooth 5.2 dan sebagainya untuk memudahkan pengguna untuk mendapatkan sambunganinternet, kadar penghantaran data antara peranti dan komputer riba yang cepat dan pantas.

Siri komputer riba Victus by HP 16 dan HP Omen 16 terbaru ini sudahpun tiba di pasaran tempatan pada harga permulaan RM4149 dan juga RM6869. Untuk HP Omen Transcend 16 pula, ia akan tiba di pasaran tempatan pada bulan Ogos ini dengan harga RM10,999.

Komen