Cari @ Amanz

Sewaktu acara COMPUTEX Taipei pada tengah tahun ini, ASUS telah memperlihatkan prototaip untuk sebuah kad grafik yang tidak menggunakan palam kuasa PCIe tradisional yang digunakan untuk mengalirkan tenaga elektrik ke komponen tersebut.

Dengan rekaan ini, kabel kuasa PCIe tidak lagi diperlukan, dan digantikan dengan sebuah slot kuasa PCIe x1 yang diletakkan di sebelah slot PCIe 4.0 x16. Slot ini dinamakan GC_HPWR yang digunakan khusus untuk menguasakan kad grafik tersebut. Slot PCIe ini mampu membekalkan kuasa sebanyak 600W kepada sebuah kad grafik kad, jadi ia dijangka akan boleh digunakan dengan model-model seperti NVIDIA GeForce RTX 4090.

Menurut laporan daripada Tom’s Hardware, seorang pencipta kandungan Bilibili yang bernama Eixa Studio telah memperlihatkan sedikit butiran mengenai kad grafik ini, dengan mengatakan bahawa kebarangkaliannya ialah tinggi bahawa ASUS akan mula memperkenalkan kad grafik dengan teknologi GC_HPWR ini secara besar-besaran sekitar musim luruh, ataupun bulan Oktober tahun ini.

Secara teknikalnya ini adalah idea yang baik, tetapi isu terbesar komponen ini ialah ia menggunakan teknologi hakcipta ASUS melalui program Back To Future mereka, dan akan memerlukan bukan sahaja kad grafik baru, tetapi juga papan induk yang baru untuk digunakan dalam binaan komputer.

Ini mungkin tidak menjadi masalah sekiranya anda sudahpun mempunyai pelan untuk membina sebuah komputer baru, tetapi cukup sukar untuk mereka yang hanya mahu menaiktarafkan komputer sedia ada.

Walaubagaimanapun, ASUS dijangka akan memperkenalkan siri kad grafik dan papan induk baru ini dalam masa beberapa bulan lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd