Carian
Apple My Photo Stream Dihentikan – Ini Cara Memastikan Gambar Anda Terus Selamat
July 28, 2023 Fahim Zahar

Perkhidmatan awanan Apple My Photo Stream telah ditamatkan pada 26 Julai 2023, Rabu. Ciri ini diperkenalkan pada tahun 2011 membenarkan sehingga 1000 gambar-gambar dalam peranti pengguna dimuat-naik ke iCloud agar boleh diakses secara rentas-peranti di antara peranti-peranti Apple lain. Selepas 30 hari, gambar-gambar ini akan dipadam.

Bulan lepas Apple mengumumkan yang perkhidmatan My Photo Stream akan ditamatkan. Pengguna selepas ini perlu menggunakan iCloud sepenuhnya untuk tujuan lebih kurang sama, yang mana akan menggunakan kuota storan iCloud anda. Dalam artikel ini akan saya kongsikan bagaimana untuk memastikan gambar-gambar anda selamat dan tidak terus terpadam selepas ini.

Ada 30 Hari Untuk Memuat Turun Segalanya

Seperti yang saya sebutkan tadi, My Photo Stream akan menyimpan gambar-gambar pengguna di iCloud selama 30 hari sebelum ia dipadam. Jadi bermula hari ini, anda ada masa sehingga 26 Ogos akan datang untuk memuat turun gambar-gambar yang ingin disimpan.

Tips ini adalah untuk mereka yang tidak melanggan storan awanan iCloud. Jika anda tidak melanggan, kuota percuma 5GB masih diberikan. Jika sudah penuh anda tiada pilihan sama ada pindahkan gambar ke Google Photos atau muat turun satu demi satu setiap gambar ke dalam peranti.

Untuk menyimpan gambar dari My Photo Stream ke Photos anda hanya perlu buka aplikasi Photos, pilih Album, pilih My Photo Stream, tekan ikon kongsi dan pilih Simpan Imej.

Gunakan Foto iCloud

Jika anda mempunyai langganan iCloud anda perlu pastikan setiap imej dalam peranti sentiasa dimuat-naik ke iCloud. Ini satu langkah yang amat mudah, pertama sekali anda perlu mempunyai langganan iCloud jika 5GB tidak mencukupi (saya menggunakan Apple One Keluarga 200GB + langganan iCloud 200GB). Harga langganan adalah serendah RM11.90 untuk iCloud 200GB atau RM39.90 untuk Apple One 200GB.

Kemudian anda perlu pergi ke tetapan peranti, tekan nama pengguna, pilih iCloud, cari bahagian App Menggunakan iCloud, pilih Foto dan pastikan Selaraskan iPhone ini dihidupkan. Anda boleh mengurus storan di bahagian ini, lihat status muat naik, selaras sekarang dan ciri paling penting jika storan iPhone anda terhad adalah menghidupkan Optimumkan Storan iPhone.

Pindahkan Ke Google Photos

Jika anda rasa inginkan platform awanan yang lebih mesra pengguna seperti lebih mudah untuk berkongsi, kolaborasi dengan yang tersayang, ciri menarik seperti pemadam ajaib yang boleh membuang objek-objek mengganggu imej, suntingan lebih mesra pengguna dan banyak lagi – Google Photos adalah pilihan baik.

Harga langganan adalah bermula dari RM8.49 sebulan untuk 100GB dan boleh mencapai sehingga 30TB pada harga RM644.99 sebulan. Untuk menggunakan Google Photos, selepas anda memuat turun gambar-gambar My Photo Stream atau dari iCloud tadi ke dalam peranti buka sahaja aplikasi Google Photos.

Dalam Google Photos tekan gambar profil, pilih Sandaran pastikan semua imej telah disandarkan. Terdapat pilihan kualiti sandaran sama ada Kualiti asal yang menyimpan dalam saiz asal atau Penjimat storan yang memampatkan imej dengan mengekalkan butiran.

Untuk menjimatkan lagi ruang storan iPhone, di gambar profil pengguna tadi turut ada Kosongkan ruang yang hanya akan memadam imej dalam peranti jika sudah selesai dan selamat disandarkan ke Google Photos.

Komen