Kerajaan Indonesia dilihat menghalang akses ke domain x.com yang dimiliki oleh Elon Musk dan digunakan sebagai destinasi baharu untuk menggantikan Twitter.
Seperti ramai sedia maklum, pada minggu ini, Elon Musk telah memulakan penjenamaan semula Twitter – sekaligus membuang nama Twitter dan menggantikan ia kepada X, disamping hadir dengan logo baharu yang menggantikan logo burung biru yang ikonik.
Perubahan kepada X ini dipersoalkan ramai pihak, apatah lagi dengan tanda dagangnya sedia didaftarkan oleh pelbagai pihak – sekaligus menimbulkan pertanyaan berkenaan bagaimana proses diambil Elon Musk untuk penjenamaan semula ini.
Terbaru, ia dilihat domain x.com sendiri dihalang akses di negara Indonesia, dikatakan kerana berkait dengan kandungan yang bertentangan dengan peraturan, termasuk melibatkan lucah dan perjudian.
Apa pun, kerajaan Indonesia menyatakan mereka telah berkomunikasi dengan pihak Twitter (X), dan mereka akan menghantar surat rasmi menyatakan X.com akan digunakan oleh Twitter.