Sejarah carian di pelayar web boleh menceritakan kehidupan penggunanya. Jika carian yang baik dilakukan maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Tetapi kami tahu setiap insan mempunyai tengkorak di dalam almari serta sisi gelap yang tidak mahu didedahkan selepas meninggal dunia. Hari ini pelayar web Opera GX memperkenalkan ciri baharu “Fake My History”.
Opera GX akan sentiasa memantau penggunaan internet pengguna. Sekiranya Opera tidak digunakan selama 14 hari berturut-turut, ia akan mengandaikan pengguna telah meninggal dunia dan Fake My History akan menggantikan sejarah carian pengguna dengan sejarah carian yang tidak akan memalukan mereka sekiranya dilihat oleh mereka yang masih hidup.
Bagi yang lebih paranoid mengenai sejarah internet mereka, ciri ini boleh diaktifkan terus dengan mod “Pretend I’m Already Dead”. Kesemua ciri ini harus diaktifkan secara manual oleh pengguna Opera GX sebelum ia boleh digunakan.