Sony hari ini berkongsi mengatakan telah menjual lebih 40 juta unit konsol PlayStation 5 sejak dilancarkan. Konsol ini telah diperkenalkan pada penghujung 2020, namun ketika awal pengenalan, ia hanya terhad dan sukar untuk didapati ramai – disebabkan oleh faktor pengeluaran yang terjejas disebabkan Covid. Namun, selepas beberapa tahun, kini konsol berkenaan telah lebih mudah untuk dibeli ramai.

Selepas sekitar hampir 3 tahun sejak dilancarkan, kini PlayStation 5 mencatatkan angka jualan sebanyak 40 juta unit. Ia tidak diketahui lagi sama ada Sony akan berjaya mengatasi rekod PlayStation 4 atau sebaliknya. Untuk makluman, ia mengambil masa kurang 6 tahun untuk PlayStation 4 terjual sebanyak 100 juta unit pada peringkat global.
Sebelum ini, Sony telah berkongsi pada Januari 2023 lepas, mengatakan mereka telah mencatatkan angka 30 juta unit konsol terjual. Dengan trend ini, kita mungkin melihat Sony mencapai angka 50 juta unit konsol PlayStation 5 terjual menjelang penghujung tahun ini.
Di Malaysia, PlayStation 5 edisi digital ditawarkan pada harga RM2069, sementera PlayStation 5 versi Ultra HD ditawarkan pada harga RM2499.