Dengan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000, NVIDIA telah memperkenalkan sejumlah model kad grafik dengan jenama Ti yang memperlihatkan prestasi yang lebih hebat berbanding dengan model asalnya. Sebelum ini ia telah dilaporkan bahawa NVIDIA turut akan membangunkan model GeForce RTX 4090 Ti yang sepatutnya menjadi kad grafik pengguna paling berkuasa mereka.
Akan tetapi, syarikat tersebut nampaknya telah membatalkan pembangunan kad grafik tersebut, menurut peniris maklumat komponen komputer terkemuka, Kopite7Kimi di Twitter.
Akan tetapi walaupun kad grafik tersebut tidak akan dibangunkan buat masa ini, Kopite7Kimi masih lagi mengatakan bahawa NVIDIA akan menggunakan cip grafik AD103 dan AD106 yang akan digunakan dalam kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 dan RTX 4060 yang baru. Ini mungkin adalah kerana kad grafik kelas pertengahan NVIDIA lebih popular buat masa ini.
Dalam pada itu, NVIDIA juga dijangka hanya akan memperkenalkan cip pemprosesan grafik akan datang mereka sekitar 2025 kelak, jadi sekiranya AMD ataupun Intel memperkenalkan kad grafik yang lebih berkuasa dalam masa tersebut, secara teknikalnya mereka masih mempunyai RTX 4090 Ti yang masih boleh dibangunkan.