Apple dijangka memperkenalkan siri iPhone 15 terbaru dalam masa sekitar dua bulan lagi. Selari dengannya, kini sejumlah info berkenaan dengan telefon pintar generasi baharu Apple berkenaan kedengaran, dan paling terkini adalah laporan pihak Bloomberg.
Melaluinya, ia dilaporkan iPhone 15 Pro akan hadir dengan rekaan skrin nirbingkai – sekaligus membawakan pengalaman paparan skrin hampir menyeluruh.
Selain model Pro dengan rekaan nirbingkai, Apple juga dijangka akan membawa sokongan Dynamic Island ke semua siri iPhone 15, dan tidak terhad untuk pengguna Pro sahaja.
Disamping itu, mengikut laporan sama, Apple dikatakan akan menggunakan rekaan bingkai atau kerangka titanium – sekaligus akan menjadikan binaan iPhone lebih kukuh dan ringan berbanding penggunaan jenis logam sedia ada pada iPhone.
Desas-desus lain turut menyatakan Apple akan menggunakan sokongan pengecasan berasaskan USB-C pada model iPhone 15.
Apple kebiasaannya akan memperkenalkan siri iPhone pada pertengahan bulan September. Sama-sama kita nantikan kejutan pihak Apple dalam masa kurang dua bulan lagi.