Carian
Cip ISP Vivo V3 Dilancarkan Dengan Teknologi 6nm Dan Kemampuan Rakaman Video Potret 4K
August 1, 2023 Amy Maizuraa

Vivo telah mengumumkan cip Vivo V3 yang merupakan ISP generasi baharu keluaran mereka. Ia dibina menggunakan teknologi 6nm dengan peningkatan kecekapan tenaga sehingga 30% berbanding cip generasi terdahulu.

Peningkatan ini dapat dicapai melalui gabungan AI-ISP (AI Image Signal Processor) dan teknologi Frame Info Tunneling (FIT) generasi kedua, yang dalam masa sama turut menyumbang kepada prestasi algoritma yang lebih baik. Peningkatan ini turut menjanjikan kelancaran proses integrasi di antara cip V3 dan pemproses utama bagi mengurangkan sela masa antara tangkapan gambar.

Di samping itu, cip V3 juga menawarkan kemampuan merakam video potret 4K dengan fungsi suntingan pasca-penerbitan (yang juga dikenali sebagai pos-produksi) secara terbina. Ini bermakna pengguna boleh merakam video berkualiti sinematik dengan kesan bokeh, kualiti kulit dan penghasilan semula warna lebih baik. Dalam masa sama, turut boleh menyesuaikan kabur dan fokus dengan perincian lebih baik tanpa merosakkan rakaman asal.

Menerusi sokongan algoritma AIGC pula memboleh kandungan maya berkualiti tinggi dalam fotografi potret dihasilkan. Pengalaman yang baik turut dibantu juga dengan ciri Texture Color yang membenarkan pengguna mengubahsuai secara bebas warna tertentu pada gambar untuk lebih unik. Bukan itu, turut diperkenalkan adalah Origin Imaging Engine (VOIE) baharu yang dikatakan mampu meningkatkan kualiti imej, warna, tona dan fungsi perkomputeran.

Sementara itu kerjasama jangka panjang antara Vivo dan Zeiss juga telah membawa kepada pengenalan beberapa perkara. Antaranya seperti teknologi salutan Zeiss T* baharu yang dikatakan mampu mengurangkan masalah pantulan pada kanta kamera dengan ketara untuk imej lebih jelas. Kemudian mereka juga mengumumkan reka bentuk kanta periskop dengan piawaian baharu “Vario-Apo-Sonnar” bagi tujuan meningkatkan kualiti zum dan keupayaan tangkapan makro.

Vivo X100 akan menjadi peranti pertama yang hadir dengan cip pengimejan ini.

Komen