Cari @ Amanz

DJI mengumumkan bahawa terdapat produk baharu yang bakal dilancarkan pada 2 Ogos ini. Dengan tagline ‘Time to Shine’, ia boleh menjadi pengenalan untuk kamera aksi baharu OSMO Action 4.

Melihat pada poster yang dimuatnaik, kamera aksi generasi baharu ini akan mempunyai lensa yang bersaiz lebih besar. Namun dijangka masih mengekalkan rekaan tubuh kompak yang lebih kurang sama seperti pendahulunya. Ini bermakna, ada kemungkinan kamera generasi baharu ini akan ditambah baik dengan pelbagai ciri menarik.

Butiran lanjut mengenai spesifikasi tidak pula didedahkan setakat ini. Namun ia dikatakan mungkin menggunakan sensor CMOS 1/1.3″ dengan sudut pandang mencapai 155 darjah dan boleh merakam video 4K/120fps. Selain daripada itu, kamera ini juga mungkin mempunyai sokongan kedalaman warna 10-bit dan D-Log M, bagi tujuan memastikan julat dinamik dapat disesuaikan dengan baik seumpama rakaman gred profesional.

Menerusi OSMO Action 4, kebolehan merakam video secara menegak juga dijangka ditawarkan. Dalam masa sama ia juga dikatakan mempunyai tubuh yang kalis air dan ketahanan bateri lebih panjang. Bagi melihat penawaran penuh mengenai produk ini, sama-sama nantikan pelancaran rasminya esok.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd