Touch n Go eWallet hari ini mengumumkan mereka telah melakukan penaik-tarafan, sekaligus mengalihkan ciri tambah-nilai dompet digital mereka dari penggunaan FPX kepada DuitNow Transfer. Dengan langkah ini, semua proses tambah-nilai selepas ini akan memerlukan melalui DuitNow Transfer – selain daripada penggunaan kad debit atau kreidt, serta kod tambah-nilai.
Setiap akaun TNG eWallet diberikan nombor DuitNow tersendiri, yang boleh digunakan melalui bank-bank atas-talian sedia ada untuk tujuan transaksi. Selain kemudahan transaksi, sebab lain tidak dinyatakan oleh TNG.
Untuk makluman, beberapa transaksi melibatkan FPX tertakluk kepada caj perkhidmatan, berbeza dengan DuitNow yang tidak tertakluk padanya. Terdapat kebarangkalian faktor ini turut diambil-kira oleh pihak TNG eWallet, selain keselesaan pengguna untuk proses tambah-nilai berkenaan.
Bagi anda yang sering menambah-nilai TNG eWallet melalui FPX sebelum ii, jangan terkejut apabila melihat ianya tidak ditawarkan lagi. Untuk menggunakan DuitNow Transfer, anda hanya perlu menyalin nombor akaun DuitNow Transfer pada TNG eWallet anda, seterusnya ke perkhidmatan perbankan anda. Pilih pemindahan wang DuitNow menggunakan akaun bank, masukkan nombor akaun yang anda salin tadi dan pilih TNG eWallet sebagai bank penyedia.
Lakukan pemindahan, dan seterusnya baki tersebut akan ditambah ke akaun TNG eWallet anda.
Walaupun penambahan nilai ke baki TNG eWallet tidak lagi menyokong FPX, namun untuk bahagian GO+, sokongan FPX masih dikekalkan buat masa ini.