YouTube hari ini memperkenalkan enam ciri baharu untuk Shorts yang boleh digunakan untuk menghasilkan kandungan lebih menarik serta mengumpul inspirasi untuk video sendiri. Ciri pertama ialah Collab yang membolehkan video pengguna lain digunakan dalam video sendiri seperti ciri Duet pada TikTok. Video pengguna lain boleh disusun menggunakan beberapa templat yang disediakan oleh YouTube. Ciri ini akan hadir pada aplikasi iOS terlebih dahulu sebelum tiba ke Android.
Seterusnya ialah pelekat interaktif yang boleh diletakkan di dalam video. Soalan boleh ditanyakan kepada penonton dan mereka boleh menjawabnya terus di dalam pelekat tersebut. Ini boleh digunakan bagi menjana idea video seterusnya oleh penghasil kandungan YouTube.
YouTube juga memperkenalkan penstriman secara langsung untuk video menegak. Video yang melakukan penstriman langsung boleh dilihat pada tab Shorts dengan ciri standard Super Chat dan Super Stickers boleh digunakan dalam video menegak ini. Ia akan diberikan kepada semua pengguna secara berperingkat.
Terdapat juga automasi untuk audio dan kesan khas bagi menghasilkan Shorts. Jika anda menyukai audio dan kesan khas yang digunakan pada video Shorts yang sedang ditonton, tekan butang Remix dan kedua-duanya akan diaktifkan untuk anda menghasilkan Shorts sendiri. Anda tidak lagi perlu mencari audio serta kesan khas secara manual.
Alat baharu juga diperkenalkan oleh YouTube untuk mengubah video mendatar yang telah dimuat naik ke video menegak untuk Shorts. Nisbah skrin, memotong dan zum boleh diakses menggunakan alat baharu yang akan dilancarkan dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.
Akhir sekali video shorts kini boleh disimpan dalam senarai main tersendiri sama seperti menyimpan video YouTube lain.