Cari @ Amanz

Selain daripada siri cip pemprosesan AMD Ryzen mereka, syarikat pembuat cip pemprosesan tersebut juga cukup terkenal untuk penawaran kad-kad grafik gaming mereka, AMD Radeon. Cip grafik terbaru mereka, RDNA3 sudahpun memperlihatkan beberapa model kad grafik yang dilancarkan, iaitu siri AMD Radeon RX 7900, RX 7600 untuk kad grafik kelas premium dan juga mampu milik.

Untuk mengisi kekosongan diantara kedua-dua siri kad grafik ini, AMD dijangka akan memperkenalkan siri kad grafik AMD Radeon RX 7800 XT dan RX 7700 XT tidak lama lagi. Menurut laporan Tom’s Hardware, kad grafik ini dijangka akan menggunakan cip pemprosesan grafik Navi 32 yang dilihat lebih kecil berbanding cip grafik Navi 31 yang digunakan didalam kad grafik AMD Radeon RX 7900 XT dan XTX.

Buat masa ini, butiran khusus mengenai cip pemprosesan ini tidak diketahui lagi, tetapi laporan yang sama mengatakan bahawa Dr. Lisa Su, CEO AMD mengatakan bahawa syarikat tersebut mempunyai pelan untuk menambahkan penawaran kad grafik AMD Radeon RX 7000 pada suku ketiga tahun ini.

Kenyataan ini, digabungkan dengan ura-ura bahawa AMD sudahpun membangunkan cip pemprosesan grafik Navi 32, ia boleh dikatakan bahawa AMD akan melancarkan kad grafik kelas pertengahan seperti yang dikatakan sebelum ini.

Kehadiran kad grafik baru AMD ini dilihat akan membantu syarikat tersebut untuk mengambil semula sedikit pasaran kad grafik pengguna, khususnya mereka yang menggunakan komputer yang dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen, tetapi tidak mahu berbelanja terlalu banyak untuk kad grafik RX 7900, ataupun merasakan bahawa RX 7600 tidak cukup berkuasa untuk keperluan mereka.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd