HyperX Memperkenalkan Fon Kepala Cloud Stinger 2 Untuk Konsol PS5 Dan Xbox Series
Nazrin
HyperX ialah jenama aksesori komputer yang cukup terkenal untuk penawaran aksesori komputer mereka, dan terkini, mereka telah memperkenalkan sebuah fon kepala yang dibangunkan khusus untuk konsol-konsol permainan video terbaru.
Dinamakan HyperX Cloud Stinger 2, fon kepala ini hadir dengan variasi untuk konsol-konsol permainan Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X dan Series S. Fon kepala ini merumahkan pemandu audio bersaiz 50mm yang besar, rangka telinga yang boleh dipusing dan mikrofon yang tampil dengan fungsi pembatalan bunyi hingar dan dipusing keatas untuk dibisukan.

Menariknya, walaupun fon kepala ini hadir dengan penjenamaan berbeza untuk konsol PlayStation 5 dan juga Xbox Series X dan Series S, spesifikasi dan rekaan fon kepala ini adalah sama sahaja. Malah, untuk menyambungkan fon kepala ini ke konsol-konsol ini, anda hanya perlu menyambungkan kabel audio 3.5mm dari fon kepala ke alat pengawal konsol-konsol Sony DualSense dan Xbox Wireless Controller melalui palam audio 3.5 terbina.
Buat masa ini, pihak HyperX masih belum mengesahkan tanda harga untuk fon kepala ini, tetapi kami akan bertanyakan kepada pihak tersebut untuk kepastian tentang bilakah ia akan ke pasaran tempatan.