PlayStation 5 Akan Menyokong Dolby Atmos Dan Dan Storan 8TB
Effi Saharudin
Sony PlayStation 5 menerima perisian Beta minggu ini yang membawakan beberapa ciri menarik yang tidak disokong sebelum ini. Menerusinya, PS5 akhirnya akan dapat menyokong sistem audio Dolby Atmos. Ini adalah penting bagi mereka yang menggunakan konsol sebagai sistem hiburan untuk menstrim kandungan dengan audio Dolby Atmos.

Turut diberikan ialah kemas kini yang membolehkan konsol menerima SSD dengan storan sehingga 8TB. Sebelum ini had SSD adalah 4TB sahaja. Bagi mereka yang mempunyai anak, ciri baharu membolehkan alat kawalan DualSense kedua digunakan untuk membantu pemain yang mengawal DualSense untuk pemain pertama. Kedua-dua DualSense kini mengawal watak yang sama. Apabila perlu pemain kedua boleh membantu pemain pertama.

Seterusnya terdapat ciri untuk mematikan bunyi “beep” yang nyaring setiap kali PS5 dihidupkan. Bagi mereka yang gemar bermain PS5 di waktu malam, bunyi ini tidak lagi akan mengganggu orang lain yang sedang tidur.
Akhir sekali pengguna akhirnya boleh melakukan carian permainan video dalam katalog peribadi dengan menaipnya. Sebelum ini permainan hanya boleh disenaraikan mengikut susunan abjad. Jika pengguna mempunyai ratusan permainan, mencari permainan yang ingin dimainkan adalah agak menyusahkan.

Perisian PS5 Beta ini hanya diberikan pada pasaran tertentu sahaja. Bagi pengguna PS5 yang lain, mereka perlu menanti kemas kini penuh diberikan untuk menikmati ciri-ciri ini.
[sumber] PlayStation [/sumber]