Google Search Pertingkat Ciri Memadam Maklumat Dan Gambar Peribadi
Effi Saharudin
Semua benda boleh dicari menggunakan Google Search dan malang sekali ia boleh membahayakan pengguna jika maklumat seperti alamat rumah, dan kerja seseorang dipaparkan. Google hari ini mengumumkan beberapa ciri baharu yang akan memastikan privasi dapat dikekalkan jika ia muncul dalam carian Search.

Ciri pertama ialah Results about you dipertingkatkan lagi dengan notifikasi akan dipaparkan apabila maklumat peribadi baharu mengenai diri muncul di Search. Pemilik maklumat kemudiannya boleh memohon supaya maklumat ini dipadam daripada keputusan carian. Untuk mengaksesnya pengguna hanya perlu pergi ke goo.gle/resultsaboutyou. Pada waktu ini ia hanya disokong di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris. Sokongan di peringkat global serta lebih banyak bahasa akan diberikan secara berperingkat.
Seterusnya pengguna boleh memohon supaya gambar lucah peribadi dipadam daripada keputusan carian Google Images. Sebelum ini Google hanya memadam gambar yang dimuat naik tanpa kebenaran. Kini pemilik gambar boleh memohon supaya gambar yang dimuat naik dahulunya secara sukarela juga dipadam.

Akhir sekali ialah ciri mengaburkan gambar dalam Search yang mungkin tidak sesuai dilihat di tempat awam. Ia mungkin gambar dalam bentuk keganasan atau lucah yang memalukan jika terpapar pada skrin peranti. Sebelum ini SafeSearch dengan imej dikaburkan diberikan kepada sebilangan kecil pengguna sahaja tetapi bermula hari ini dikembangkan ke seluruh dunia.
[sumber] Google [/sumber]