GoPro adalah salah satu pengeluar kamera aksi yang cukup popular di seantero dunia. GoPro bukan sahaja hadir dengan produk fizikal tetapi turut mempunyai produk digital seperti Quik, iaitu aplikasi suntingan dan juga perkhidmatan storan awan.
Terbaru The Verge melaporkan yang GoPro bakal hadir dengan aplikasi penyuntingan video untuk komputer. Ia tidak didedahkan sama ada akan ditawarkan untuk platform Windows atau macOS terlebih dahulu. Aplikasi ini dijangka ditawarkan secara percuma untuk semua pengguna GoPro yang melanggan pelan GoPro Subscription.
Aplikasi ini kelak boleh turut melakukan sandaran gambar dan video ke awanan, akses galeri secara rentas-peranti dan melakukan suntingan terus melaluinya. Bagi yang tidak tahu, GoPro sebelum ini pernah mempunyai aplikasi untuk komputer iaitu GoPro Studio tetapi ditamatkan pada tahun 2018 lepas.
Buat masa ini GoPro Subscription tidak ditawarkan di Malaysia, jadi tidak pasti jika aplikasi ini boleh digunakan oleh pengguna tempatan atau sebaliknya. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut untuk penawaran perisian ini.