Cari @ Amanz

Beberapa hari lalu kami ada melaporkan bahawa AMD dijangka akan melancarkan sejumlah siri kad grafik baru berdasarkan cip pemprosesan grafik AMD Navi 32 dan teknologi grafik AMD RDNA 3, iaitu AMD Radeon RX 7800 XT dan AMD Radeon RX 7700 XT.

Butiran rasmi mengenai kad grafik ini tidak diketahui lagi buat masa ini, tetapi terkini, jenama pembuat kad grafik AMD, PowerColor telah memperlihatkan butiran mengenai salah satu kad grafik mereka, PowerColor Red Devil AMD Radeon RX 7800 XT secara tidak sengaja.

Rekaan kad grafik ini dilihat dengan rangka luarannya yang berwarna merah dan hitam dengan tiga kipas penyejuk dan memakan dua slot pengembangan PCIe di bahagian belakang, dan dijangka hadir dengan tiga palam DisplayPort dan satu palam HDMI, berkemungkinan versi 2.1.

Dari segi spesifikasi dalaman, diantara butiran yang dilaporkan kelihatan di laman web PowerColor ialah jumlah pemproses strim yang ditetapan pada jumlah 3840, iaitu bersamaan dengan 60 teras RDNA 3 dan juga jumlah pemecut Ray-tracing yang sama. Jumlah pemproses strim ini adalah sedikit lebih rendah berbanding dengan AMD Radeon RX 7900 XT yang mempunyai 5376 pemproses strim.

Dalam pada itu, laman web PowerColor turut memperlihatkan kelajuan kad grafik ini pada kelajuan asas Game Clock 2210MHz, kelajuan Boost Clock 2520MHz dan kelajuan Boost Clock dalam mod OC sepantas 2565MHz.

Kad grafik ini juga dimuatkan dengan 16GB memori GDDR6 dengan kelajuan 18Gbps yang cukup pantas sekali dikala para gamer memerlukan kad grafik yang mempunyai jumlah memori pantas yang banyak.

Seperti yang dikatakan sebelum ini AMD, dijangka akan memperkenalkan kad grafik baru ini tidak lama lagi, dan mereka dijangka akan mengumumkan juga tanda harga untuk kad grafik ini juga.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd