Tesla merupakan jenama kenderaan elektrik yang cukup terkenal sekali, dan baru-baru ini sudahpun membuka pejabat dan juga pra-tempahan rasmi mereka di Malaysia dengan penawaran sejumlah model Tesla Model Y.
Kenderaan-kenderaan Tesla juga dimuatkan dengan sistem inforia yang hadir dengan ciri-ciri yang cukup menarik sekali, dimana ia merumahkan juga beberapa fungsi yang perlu diaktifkan melalui bayaran tambahan. Terkini, beberapa penyelidik keselamatan di Technische Universität Berlin dari Jerman telah berjaya menemui satu kerentanan sekuriti yang membolehkan mereka untuk mengaktifkan fungsi Full Self Driving (FSD) tanpa perlu membayar untuknya.

Christian Werling, salah satu penyelidik yang berjaya melakukan “godaman” ini mengatakan bahawa akses fizikal kepada sebuah kereta Tesla diperlukan untuk melakukannya, dimana mereka menggunakan teknik “voltage glitching” yang secara ringkasnya menyebabkan CPU didalam sistem inforia kenderaan Tesla untuk menerima jumlah voltan yang menyebabkan ia untuk menerima arahan-arahan tertentu tanpa perlu menunggu pengesahan dari rangkaian intranet Tesla.
Malah, dia mengatakan bahawa godaman ini membolehkan fungsi FSD diaktifkan di lokasi-lokasi dimana ciri tersebut belum aktif lagi. Walaupun begitu, harus diingatkan bahawa ia tidak diketahui lagi bagaimana ciri FSD akan berfungsi di lokasi-lokasi dimana ia masih belum lagi diuji.

Werling mengatakan bahawa pasukannya juga mempunyai kunci pengesahan yang membolehkan mereka mengesahkan pengaktifan sistem FSD melalui sambungan internet, sekaligus membolehkan kereta tersebut menggunakannya secara percuma dan “sah”.
Kumpulan penyelidik universiti ini juga akan memperlihatkan penemuan mereka di acara Black Hat Security Conference 2023 di Las Vegas pada minggu hadapan.
- Sumber
- Tech Crunch