Tahun ke lima Samsung menawarkan siri Z Fold ke pasaran Malaysia. Empat versi sebelum ini menawarkan perubahan yang ketara dari segi rekaan skrin, ketebalan bezel, ciri pada perisian, prestasi kamera dan ketahanan bateri. Bagaimana pula dengan Samsung Galaxy Z Fold5?
Dukacita dimaklumkan walaupun perubahan yang dilakukan tahun ini menarik tetapi ia tidak cukup untuk menjadikan Z Fold5 peranti skrin boleh-lipat besaiz besar di pasaran. Kenapa kami katakan begitu? Baca ulasan ini untuk jawapannya.
Spesifikasi
Samsung Galaxy Z Fold5 | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm) |
Cip | 1 X 3.36 GHz Cortex X2 3 X 2.75 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex 510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256/512/1000 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS 10MP, f/2,2 Telefoto, 3X Optikal, OIS 12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar |
Kamera Swafoto | Luar – 10MP f/2.2 Dalam – 4MP f/1.8 UDC |
Bateri | 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 15W Pengecasan berbalik 4.5W |
SIM/Telefoni | Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IPX8 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
Harga Jualan | RM 6799 (12/256GB) RM 7299 (12/512GB) RM 8299 (12/1000GB) |
Skrin
Skrin ini masih lagi sebesar 6.2″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 904 x 2316 pixels, nisbah 23.1:9, menyokong kadar segar semula 120Hz serta HDR10. Skrin luar adalah terang dan boleh digunakan dengan baik di bawah cahaya matahari yang terik. Tak perlu gosok mata anda kerana tiada kesilapan menaip dilakukan di sini kerana saiz skrin, resolusi dan spesifikasinya sama sahaja dengan Z Fold4 tahun lalu.
Skrin dalaman juga masih lagi 7.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 1812 x 2176 pixel, 120Hz dan menyokong HDR10. Kesan lipatan masih kelihatan walaupun teknik lipatan “titisan air” digunakan tahun ini. Kamera swafoto bawah skrin UDC 4MP juga dikekalkan dengan ia boleh dilihat dari sudut tertentu. Lapisan kaca UTG Samsung masih terasa seakan poliamida di bawah jari tetapi mereka mengatakan ia masih lagi tahan calar berbanding lapisan lain di pasaran.
Walaupun kesan lipatan masih lagi ketara, kami tidak lagi merasakan ia mengganggu apabila peranti digunakan. Ia hanya nampak ketara apabila menggunakan latar belakang berwarna terang misalnya seperti ketika melayari laman web.
Mungkin selepas lima tahun menggunakan kesemua siri Z Fold, mata kami tidak lagi peduli dengan kesan lipatan. Sama sahaja seperti pengguna iPhone yang tidak lagi merungut dengan kewujudan takuk gergasi pada skrin. Berdasarkan pengalaman kami juga, kesemua peranti skrin boleh lipat jenis Fold mempunyai kesan lipatan yang ketara selepas seminggu digunakan. Masih tidak dapat dielakkan oleh semua pengeluar setakat ini.
Skrin dalaman tidak seterang skrin luar. Apabila peranti diletakkan pada pemegang telefon di dalam kereta, kerap kali sukar melihat apa yang di skrin apabila terdapat matahari yang terang. Pada tetapan tinggi sekalipun isu ini tidak dapat diselesaikan. Peranti melepasi piawaian HDR10+ dan tiada isu memainkan kandungan Netflix, Disney+ Hotstar, Prime Video dan YouTube dalam mod HDR.
S PEN
Samsung Galaxy Z Fold5 menyokong S Pen tetapi hanya pada skrin dalam sahaja. Tiada tempat simpanan terbina pada Z Fold5 seperti ura-ura yang didengari sebelum ini. S Pen for Fold dan S Pen Pro baharu akan dilancarkan tahun ini dengan tahap kepekaan mengesan sendeng yang lebih tinggi.
Terdapat sebuah kerangka baharu yang menawarkan S Pen yang 48% lebih nipis berbanding S Pen for Fold biasa. Apabila disimpan ia tidak menghasilkan bonggol yang besar seperti pada kerangka tahun lalu. Walaupun nipis S Pen yang pipih ini tidak mempunyai sokongan bluetooth seperti S Pen pada S23 Ultra. Maka ciri kawalan kamera dan alat kawalan jauh tidak disokong.
Jika pemilik Z Fold5 inginkan kawalan kamera dan beberapa aplikasi lain dari jarak jauh mereka perlu membeli S Pen Pro yang mempunyai sokongan bluetooth. Ia perlu dibeli secara berasingan. Harus diingatkan S Pen dari siri Note dan S Ultra tidak boleh digunakan pada siri Fold bagi mengelakkan kerosakan pada skrin boleh-lipat.
REKAAN
Tubuh peranti semakin berkotak menyamai rekaan yang turut ditemukan pada Z Flip5. Tahun ini ialah tahun βkotakβ untuk Samsung. Kami secara peribadi lebih menyukai rekaan berkotak kerana membuatkan perantis terasa lebih tegap di dalam tangan. Bingkai Z Fold5 masih lagi diperbuat daripada bahan Armor Alumimium yang tahan lasak dan tahan bengkok.
Pada sisi kanan terdapat laras audio, butang kuasa merangkap pengimbas cap jari. Sudah masuk generasi ke-lima dan Samsung masih tidak menawarkan pengimbas cap jari terbina bawah skrin. Sedikit mengecewakan kerana Vivo X Fold2 yang kami ulas beberapa bulan lalu boleh menawarkannya pada skrin luar dan skrin dalam.
Peranti kini bukan sahaja lebih 2mm lebih nipis dengan rekaan baharu ini tetapi juga terasa lebih ringan dengan berat hanya 253 gram berbanding 263 gram pada Z Fold4 dan 234 gram pada Galaxy S23 Ultra. Ini sedikit sebanyak akan memuaskan hati mereka yang merasakan peranti skrin boleh-lipat terlalu berat untuk ia menjadi peranti kegunaan harian yang praktikal.
Panel belakang pula diperbuat daripada kaca Gorilla Glass Victus 2 dengan kemasan tidak berkilat. Ini membolehkan sistem pengecasan nirwayar digunakan serta sistem pengecasan berbalik. Kemasan yang tidak berkilat ini tidak memerangkap kotoran dengan mudah serta ditawarkan dalam warna Phantom Black, Icy Blue dan Cream.
Tiga kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 10MP telefoto sehingga 3X optikal. Pada skrin dalam terdapat kamera swafoto 4MP bawah skrin dan di skrin luar pula kamera swafoto 10MP dalam lubang skrin. Kesemua kamera utama di belakang dimasukkan ke dalam bonggol yang sama seperti Z Fold4.
Ini kerana bagi mereka yang mungkin arif dengan spesifikasi Z Fold4, Z Fold5 mengitar semula semua kamera daripada Fold4 tahun lalu. Tiada sebarang perubahan perkakasan dilakukan dengan Samsung mengatakan penambahbaikan semuanya dilakukan pada perisian kamera sahaja tahun ini.
Terdapat lubang speaker di atas dan bawah βpintu kiriβ Fold5 sekali lagi sama sahaja dengan yang ada pada Z Fold4. Speaker stereo menembak ke sisi membuatkan audio kedengaran seimbang dibantu oleh sistem audio Dolby Atmos yang boleh ditala mengikut media yang dimainkan.
Pada pintu kiri ini juga diletakkan talam untuk dwi-SIM nano yang tidak menyokong kad mikro SD. Z Fold5 turut boleh menyokong satu eSIM namun jika diaktifkan hanya satu SIM fizikal boleh diaktifkan.Masih tiada bicu audio 3.5mm dan juga tiada pemancar infra merah kerana ia adalah dua ciri yang sudah semakin pupus pada peranti mercu.
Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh yang melepasi piawaian IPX8. Ia boleh ditenggelamkan ke dalam air tetapi tidak mempunyai ketahanan dimasuki debu. Maka berhati-hatilah kerana ia tidak sama seperti IP68 yang kerap didengari.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN
Sistem operasi One UI 5.1.1 berasaskan Android 13 digunakan. Ini ialah versi yang sama digunakan pada Z Fold4. Tiada sebarang ciri baharu eksklusif diperkenalkan pada model tahun ini. Dengan cip pemproses Snapdragon 8 Gen 2 dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan sehingga 1TB UFS 4.0 dapat dirasakan Z Fold5 berfungsi dengan lebih lancar.
Kami sedari kepantasan ini apabila menonton YouTube pada skrin luar kemudian berpindah ke dalam dan keluar semula. Video bermain secara terus tanpa terhenti walaupun seketika. Pada Z Fold4 video akan terhenti sekitar separuh saat ketika skrin yang ditonton diubah. Lebih menakjubkan ialah perubahan apabila memainkan permua. Dalam video ulasan di atas anda boleh melihat kami memainkan COD Mobile dari skrin luar ke dalam sebelum kembali ke skrin luar. Aplikasi terus berjalan tanpa terhenti. Perisian tahun ini lebih dioptimasikan untuk multi tugasan lebih lancar.
Pelancaran aplikasi juga terasa lebih pantas sama seperti pengalaman menggunakan S23 Ultra yang kami puji awal tahun ini. Penggunaan memori dan storan yang lebih pantas membuatkan kepantasan sistem operasi dirasakan tahun ini. Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM.
Sepanjang tempoh ulasan kami aktifkan ciri RAM ini. Apabila dimatikan kami tidak dapat mengesan sebarang perubahan besar pada prestasi menjalankan aplikasi. Kami rasakan 12GB RAM adalah lebih daripada memadai dalam 90% situasi. Malahan kami sudah mencuba melancarkan COD Mobile, Twitter dan Chrome secara serentak tanpa sebarang isu. Kombinasi Snapdragon 8 Gen 2 dan 12GB RAM LPDDR5X tidak mengecewakan.
Sejak dilancarkan tahun lalu, ciri Taskbar telah ditambah baik dan ini dapat dilihat pada Z Fold5. Taskbar boleh disorokkan dengan lebih mudah dan aplikasi boleh ditarik terus dari Taskbar terus ke skrin bagi melancarkan ciri Multi Window. Tiada sebenarnya penambahan ciri baharu yang drastik dengan hanya kelancaran operasi sahaja diperbaiki tahun ini.
Seperti kesemua peranti mercu dan kelas pertengahan Samsung, Z Fold5 akan menerima empat versi Android dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun. Peranti boleh digunakan untuk tempoh yang lama tanpa perlu risau dengan kerentanan sekuriti yang mungkin berlaku.
PENANDA ARAS
Berikut adalah markah yang dicatatkan dalam ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme. Walaupun menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang sama dengan S23 Ultra, aneh sekali skor yang dicatatkan adalah lebih rendah pada Z Fold5. Kami bandingkan markah dengan OnePlus 11, Xiaomi 13 Ultra dan Sony Xperia 1 V yang dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 2 biasa.
AnTuTu 3D
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,597,608
- Xperia 1 V: 1,234,059
- Xiaomi 13 Ultra β 1,527,588
- OnePlus 11: 1,248,004
- Samsung Galaxy S23 Ultra β 1,503,508
Geekbench 6
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1948/5373
- Xperia 1 V: 1902/5244
- Xiaomi 13 Ultra β 2015/5457
- OnePlus 11: 1204/4366
- Samsung Galaxy S23 Ultra β 2015/5294
3DMark Wild Life Extreme
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 2929
- Xperia 1 V: 3,599
- Xiaomi 13 Ultra β tidak boleh diuji
- OnePlus 11 – 3,682
- Samsung Galaxy S23 Ultra β 3,742
Walaupun markah lebih rendah berbanding S23 Ultra kami sebenarnya tidak dapat mengesan perbezaan dalam penggunaan pelbagai aplikasi. Aplikasi media sosial, kamera, penstriman muzik dam penstriman video kesemuanya boleh dilancarkan sepantas kilat.
Prestasi permua juga amat cemerlang dengan semua aplikasi yang kami uji boleh dijalankan pada tetapan paling grafik dan kadar bingkai yang tinggi. Seperti pada S23 Ultra, kami tidak mengalami masalah pemanasan walaupun selepas sesi permua yang agak panjang. Setakat ini isu pemanasan pada cip Snapdragon 8 Gen 2 hanya kami temukan pada Xperia 1 V sahaja.
TELEFONI Dan GPS
Peranti disokong oleh rangkaian 5G DNB di Malaysia. Pada rangkaian Digi yang kami langgan semuanya beroperasi dengan baik. Panggilan suara adalah jelas dan terang. Sambungan VoLTE dan VoWiFi juga boleh digunakan jika rangkaian selular adalah lemah. Prestasi WiFi juga adalah amat cemerlang. Jika anda melanggan kepada perkhidmatan internet sehingga 2Gbps, WiFi 6E pada Z Fold5 boleh menyokongnya.
Yang sedikit membingungkan ialah prestasi GPS yang tidak konsisten. Jika terlepas simpang GPS masih menunjukkan kami di cabang jalan yang salah. Kedudukan sebenar hanya diperlihatkan dalam aplikasi Waze selepas sekitar lima saat. Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem GPS Z Fold5 kerana ini tidak pernah kami lihat berlaku pada peranti Snapdragon 8 Gen 2.
KAMERA
Kerana kamera tidak diubah, kami tidak terkejut apabila prestasi kameranya sama sahaja dengan Z Fold4. Sistem kamera ini bukanlah yang paling maju kerana tiada sistem zum periskop. Aplikasi kamera juga masih sama. Ada mod malam, panorama, video, potret dan AR. Ketiadaan ciri baharu mungkin mengecewakan tetapi hakikatnya kita kini sudah sampai ke kemuncak telefon pintar (peak mobile) sehingga tahun demi tahun ciri baharu yang diperkenalkan hampir tiada.
Gambar yang diambil adalah tajam dan terang. Dalam situasi pencahayaan yang baik warna nampak hidup dan mempunyai saturasi yang tinggi. Ini sudah dilakukan oleh Samsung sejak dahulu lagi di mana gambar akan diproses selepas ditangkap untuk kelihatan lebih baik daripada situasi sebenar. Mod makro juga adalah memuaskan.
Mod malam adalah memuaskan sekali kerana sensor 50MP yang besar dan sistem OIS. Pendedahan gambar yang lebih lama sehingga 7 saat boleh dilakukan bagi mendapatkan gambar malam yang lebih terang. Kesan hingar pada gambar adalah minima.
Kamera swafoto 10MP adalah sederhana sahaja kualiti gambarnya. Kami masih sarankan anda gunakan kamera ini daripada kamera 4MP UDC di bahagian dalam kerana imej yang terhasil masih tidak cukup tajam
Mod zum pula baik sehingga sekitar 10x zum sahaja. Melangkaui tahap ini gambar mula kelihatan kabur. Di bawah ialah sampel gambar menggunakan mod zum 1x, 3x, 10x dan 30x. Kesimpulannya dari ujian yang kami lakukan kamera pada Fold5 adalah perbadanan dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu.
BATERI
Berita buruk ialah tiada perubahan pada kapasiti bateri yang masih 4400 mAh dan menyokong pengecasan berwayar 25W, nirwayar 15W dan pengecasan berbalik 4.5W. Berita baiknya pula ialah hayat bateri Z Fold5 mempunyai peningkatan yang ketara.
SOT 8-9 jam sehari dapat kami nikmati pada penggunaan yang sederhana dan berat. Dalam penggunaan sederhana peranti boleh beroperasi sehingga 18 jam. Penggunaan lebih berat pula ia turun ke 14 jam yang tidak boleh dicapai pada Z Fold4 tahun lalu.
Ketahanan bateri ini mengubat kekecewaan sistem pengecas yang masih sekadar 25W dan tiada pengecas percuma diberikan. Ini tidak boleh dimaafkan kerana pesaing seperti Honor Magic Vs dan Huawei Mate X3 ditawarkan dengan pengecas yang lebih pantas. Pengecasan semula mengambil masa 90 minit dari 1% ke 100%. Tiada pengecas diberikan dengan setiap pembelian.
AUDIO
Dua speaker stereo yang menembak ke sisi menawarkan audio yang seimbang. Muzik dan video yang dimainkan boleh dinikmati dengan lebih baik kerana sistem audio Dolby Atmos turut disertakan. Bagi peminat aksesori audio nirwayar, terdapat sokongan codec AAC, SBC dan LDAC.
Masih tiada ruang untuk sebuah bicu audio 3.5mm. Kerana saiz peranti yang besar, speaker boleh diletakkan di atas dengan tangan di sisi tidak menutup lubang audio ketika sesi permua atau Netflix. Prestasi audio Z Fold5 adalah sama sahaja dengan Z Fold5.
PESAING
Samsung Galaxy Z Fold5 | Vivo X Fold2 | Honor Magic Vs |
Luar β 6.2β³ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz Dalam β 7.6β³ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ | Luar β 6.53β³ LTPO OLED, 120Hz Dalam β 8.03β³ LTPO OLED, 1290Hz, Dolby Vision | Luar β 6.45β³ OLED, 120Hz Dalam β 7.9β³ OLED, 90Hz, HDR10+ |
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1 X 3.36 GHz Cortex X3 4 X 2.8 GHz Cortex A715 3 X 2.0 GHz Cortex 510 | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1 X 3.2 GHz Cortex X3 4 X 2.8 GHz Cortex A715 3 X 2.0 GHz Cortex 510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.19 GHz Cortex X2 3 X 2.75 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex 510 |
Adreno 740 | Adreno 740 | Adreno 730 |
12 GB LPDRR5X | 12 GB LPDRR5 | 12 GB LPDRR5 |
256/512/1000 GB UFS 4.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 | 512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS 10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS 12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar | Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar 12MP, f/2.0 Telefoto, 2X Zum Optikal 12MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar Lensa Zeiss | Kamera Utama 54MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS 8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS 50MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar |
Kamera Hadapan 10-MP f/2.2 4-MP f/1.8 (UDC) | Kamera Hadapan 16-MP f/2.5 16-MP f/2.5 | Kamera Hadapan 16-MP f/2.6 16-MP f/2.6 |
IPX8 | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4400 mAh (Berwayar 25W) | 4800 mAh (Berwayar 120W) | 5000 mAh (Berwayar 66W) |
RM 6799 (12/256GB) RM 7299 (12/512GB) RM 8299 (12/1000GB) | RM 6451* (12/512GB) *= Mata wang China | Harga RM 5999 |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Samsung Galaxy Z Fold5
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Apabila sebuah peranti baharu dilancarkan orang ramai mengharapkan terdapat penambah baikan pada spesifikasi, skrin, kamera, rekaan, bateri dan perisian. Dalam kes Samsung Galaxy Z Fold5, peranti ini hanya memenuhi tiga daripada keperluan ini. Oleh itu sedikit sukar nak sarankan kepada mereka yang ingin keenam-enam perkara di atas dipenuhi.
Yang bagus ialah prestasi memang bagus dengan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy. Dapat dirasakan semua berjalan lebih pantas. Permua boleh dimainkan pada tetapan tinggi tanpa isu pemanasan. Prestasi bateri juga amat bagus walaupun kapasiti bateri langsung berubah. Rekaan pula menyelesaikan isu ada ruang apabila skrin ditutup.
Tetapi kamera masih lagi sama sahaja dengan Z Fold4. Perisian juga tiada langsung perubahan pada ciri baharu tahun ini dengan juga menggunakan One UI 5.1.1 yang sama pada Z Fold4. Pengecasan juga masih di takuk lama 25W yang tak layak lagi dipanggil “pantas”. Kemudiannya skrin juga langsung tak ada penambah baikan baik dari segi saiz serta kemampuannya.
Oleh sebab itu kami rasakan kalau anda inginkan sebuah peranti skrin boleh-lipat jenis Fold sekarang, Z Fold4 ialah pilihan yang lebih munasabah. Harga sekarang lebih murah berbanding bermula RM6799 untuk Z Fold5 baharu. Z Fold5 bukanlah peranti yang tak bagus tetapi ia terlalu banyak mengitar semula komponen tahun lalu sehingga membuatkannya tidak begitu perlu dibeli sekarang.
Pro
- Spesifikasi yang cukup tinggi berkuasa untuk permua.
- Dengan spesifikasi lebih berkuasa penggunaan terasa lebih lancar.
- Rekaan lebih nipis tiada ruang antara skrin lagi.
- Sokongan S Pen.
- Bateri yang tahan lama.
- Kalis air IPX8.
- Sokongan versi Android sebanyak 4 versi dan tampalan sekuriti 5 tahun.
Kontra
- Garis lipatan masih boleh dilihat pada skrin.
- Pengecasan 25W adalah perlahan.
- Tiada perubahan pada spesifikasi kamera.
- Terlalu banyak persamaan dengan Z Fold4.