Pixel Watch adalah jam tangan pintar Wear OS pertama Google. Jam ini menerima kecaman oleh para pengulas gajet kerana dijual pada harga mahal dan menggunakan cip usang. Selain turut tidak boleh bersaing dengan jam-jam tangan pintar lain di pasaran.
Walaupun begitu, Google masih tidak mengalah dan bakal melancarkan Pixel Watch 2. Beberapa spesifikasi dan informasi mengenai jam kedua Google ini telah pun tersebar di web. Pertama sekali jam ini akan dijana dengan cip lebih moden iaitu Snapdragon W5 Gen 1 menggantikan Exynos 9110.
Pixel Watch 2 turut dikatakan akan menyokong Ultra Wide Band (UWB) yang besar kemungkinan adalah untuk ciri Google Find Devices atau juga untuk mengesan peranti berdekatan dan melakukan tambatan lebih pantas pada telefon pengguna.
Bateri jam pula dikatakan lebih besar iaitu 306mAh, saiz skrin sama tetapi akan menggunakan panel OLED Samsung dan bukan lagi BOE dan bezel gergasi hitam juga dikatakan akan dikekalkan. Pixel Watch 2 turut dikatakan akan dilancarkan dengan Wear OS 4, menjadikan jam kedua di pasaran menggunakan sistem operasi baharu ini selepas Samsung Galaxy Watch6.