Razer ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk aksesori-aksesori komputer dan konsol permainan mereka, termasuklah alat kawalan permainan yang hadir dengan pelbagai bentuk dan saiz. Terkini, mereka telah memperlihatkan sebuah lagi alat kawalan permainan yang baru, iaitu Razer Kitsune.
Razer Kitsune ialah sebuah alat kawalan permainan video dan komputer yang sedikit lebih unik dari biasa kerana ia hadir dengan bentuk alat kawalan arked. Secara lazimnya, alat kawalan sebegini digunakan oleh penggemar permainan-permainan jenis pertempuran seperti Street Fighter, Tekken, Soul Calibur dan sebagainya.

Keunikan Razer Kitsune dilihat hadir melalui rekaan rangkanya yang serba nipis, dan juga penggantian alat kawalan joystick dengan butang fizikal. Jika anda seorang penggemar permainan pertempuran, penggunaan butang dilihat lebih tepat berbanding dengan alat kawalan tersebut, dan dengan penggunaan suis optikal berprofil rendah Razer, input permainan dapat dimasukkan dengan lebih cepat lagi.
Razer Kitsune dilihat hadir dengan 12 butang yang menggunakan suis optikal ini, dan sejumlah lagi butang yang digunakan untuk menukar jenis input (PC/PS5) dan juga butang-butang kawalan lain yang lebih jarang digunakan.

Dalam pada itu, Razer Kitsune ini juga hadir dengan sambungan kabel USB-C yang boleh ditanggalkan, malah mempunyai kunci fizikal yang memastikan bahawa kabel tersebut tidak tertanggal khususnya apabila anda sedang dalam pertarungan yang sengit.
Buat masa ini, Razer Kitsune dilihat hadir dengan sokongan untuk platform Windows PC dan juga konsol permainan Sony PlayStation 5.

Razer Kitsune sudahpun hadir di beberapa pasaran terpilih seperti Amerika Syarikat pada harga $299.99. Ia juga mula dijual dengan pelekat Street Fighter VI pada harga $329.99.