Cari @ Amanz

Huawei telah mengumumkan HarmonyOS 4 yang merupakan sistem operasi kendiri baharu yang boleh digunakan pada pelbagai jenis peranti berbeza. Berbanding sebelumnya, HarmonyOS 4.0 dikatakan mampu beroperasi 20% lebih baik dan memanjangkan hayat bateri peranti sehingga 30%. Ia juga telah dipelbagaikan dengan ciri baharu bagi menjadikannya lebih kemas serta baik berbanding sebelumnya.

Melalui kemaskini baharu ini, pengguna diberi lebih kebebasan untuk menyesuaikan serta mengubah skrin utama ikut keselesaan. Ini termasuklah mengubah font sistem yang digunakan dalam menu, serta widget yang juga mengikut pilihan masing-masing. Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan gambar peribadi lalu menyuai padan latar belakang dengan pelbagai corak tersedia untuk dijadikan gambar latar (wallpaper) yang cantik.

HarmonyOS 4.0 juga menawarkan sehingga 1,800 emoji beranimasi yang dikhususkan buat pengguna sistem operasi ini. Emoji beranimasi ini bukan sahaja boleh digunakan dalam aplikasi pemesejan, malah boleh juga ditetapkan sebagai gambar latar dan fungsi AOD pada skrin utama. Seterusnya ciri dipanggil Panorama Weather turut ditambah bagi membolehkan pengguna menjejak ramalan cuaca harian secara masa nyata dengan lebih tepat.

Kemudian Live View dan Moon Window juga merupakan antara ciri yang boleh dianggap menarik pada HarmonyOS 4.0 ini. Live View dikhususkan untuk telefon pintar dan tablet, sementara itu Mood Window pula digunakan pada peranti boleh pakai. Ia berfungsi seakan ciri pada peranti Apple yang membolehkan pengguna menyemak pemberitahuan atau maklumat tanpa perlu membuka aplikasi.

HarmonyOS 4.0 juga telah dinaiktaraf dengan ciri Super Transit Station yang menjadi hub baharu untuk pengguna menyimpan pelbagai bentuk fail. Proses pemindahan fail-fail tersebut diantara peranti juga dikatakan lebih mudah berbanding versi sebelum ini. Ciri perkongsian berbilang skrin juga kini diperluaskan lagi penggunaan pada sistem inforia dengan ekosistem HarmonyOS.

Ciri lain yang turut disertakan termasuklah sokongan carian yang kini lebih pintar, seterusnya pembantu suara Xiaoyi juga dikatakan mampu berdialog lebih santai, menulis nota dan mengurus dokumen pada peranti. Kemaskini sekuriti juga diberi perhatian dengan pusat kawalan aplikasi serba baharu yang dikatakan boleh mengawal aplikasi berisiko, sembunyi data sebenar pengguna dan sebagainya.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd