Carian
Ulasan Infinix GT 10 Pro – Gaming Padu, Harga Mampu, Pesaing Terkedu!
August 24, 2023 Fahim Zahar

Anda mungkin jarang mendengar satu jenama telefon pintar ini, iaitu Infinix. Sejak kebelakangan ini, Infinix cuba mencipta nama di pasaran Malaysia yang menawarkan telefon pintar premium pada harga mampu milik. Infinix juga merupakan jenama di bawah Transsion yang menjadi pengeluar peranti kelima terbesar dunia.

Baru-baru ini saya mencuba Infinix GT 10 Pro iaitu peranti gaming pertama mereka dan satu cubaan mengklonkan Nothing Phone (1) kerana rekaan panel belakang dan juga sistem lampu LED. Saya turut menggelar peranti ini sebagai Nothing Clone (1) dan mengejutkan ia memberikan pengalaman penggunaan yang amat memuaskan.

SPESIFIKASI

Infinix GT 10 Pro
Skrin6.67″ AMOLED, FHD+ 1080 x 2400, 120Hz
PemprosesDimensity 8050 (6nm)
Cip1x 3.0 GHz Cortex-A78
3x 2.6 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM8GB LPDDR4X + 8GB Maya
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Mikro SD 1TB
Kamera Utama108MP f/1.75 OIS (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
2MP f/2.4 (Sensor Kedalaman)
AI Cam, Super Night
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.45
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRs 19,999 (8/256 GB)
*RM1,119

SKRIN

Saiz skrin AMOLED pada peranti ini cukup besar iaitu 6.67″. Ia menyokong resolusi FHD+, hadir dengan kadar segar semula 120Hz dan menggunakan rekaan bezel nipis yang sekata. Walaupun tidak menyokong paparan HDR10+, GT 10 Pro masih seronok untuk digunakan menonton video di mana-mana platform penstriman kerana warna skrin yang cukup hidup.

Skrin juga sentiasa lancar dan jarang berlaku lengah masa. Sistem kadar segar semula yang ditawarkan cukup stabil. Masalah utama saya adalah skrin tidak cukup terang untuk penggunaan di bawah cahaya matahari. Kualiti panel OLED peranti ini juga masih tidak dapat menandingi apa yang Redmi tawarkan, akan tetapi menilai pakej keseluruhan yang ditawarkan pada peranti ini – tidak banyak yang boleh mengeluh padanya.

PENGIMBAS CAP JARI

Pengimbas cap jari bawah skrin biasa sahaja. Tidak cukup pantas berbanding pesaing, yang mana menampakkan di mana jalan pintar diambil untuk mengurangkan kos. Pada hemat saya Infinix sepatutnya berikan sahaja pengimbas cap jari pada butang kuasa kerana terbukti pantas dan harga juga dikurangkan lagi. Ini dilakukan oleh Realme, Samsung, Oppo dan banyak lagi pengeluar lain.

REKAAN

Nothing Clone (1) adalah apa yang saya nampak apabila mengeluarkan peranti ini dari kotak. Malah Infinix ketika mengumumkan kehadiran peranti ini turut mengacah perbandingan bersama Phone (1). Duka cita dimaklumkan rekaan belakang Infinix GT 10 Pro ini adalah rekayasa semata-mata. Ia sekadar corak yang dicetak dengan kesan 3D. Rekaan ini menampakkan GT 10 Pro lebih ranggi dan sesuai dengan tema gaming mereka.

Di belakang sistem lampu LEDnya adalah sekadar jalur-jalur pada bahagian bonggol kamera. Terdapat lima jenis animasi untuk lampu LED ini seperti menyala ketika melancarkan mod permua X Arena, menerima notifikasi, panggilan telefon dan boleh bergerak mengikut rentak muzik yang dimainkan.

GT 10 Pro menggunakan rekaan rata keseluruhannya dengan setiap butang fizikal di sisi kanan, slot kad SIM di sisi kiri, di atas hanya kekisi speaker dan lubang mikrofon, akhir sekali di bawa adalah satu lagi lubang mikrofon, slot USB-C dan port bicu audio 3.5mm.

Bonggol kamera gergasi memuatkan tiga sensor kamera berserta lampu LED flash. Kemasan peranti juga agak licin dan rasa seakan plastik tetapi masih rasa pejal dan berat memberi ilusi GT 10 Pro sebagai sebuah peranti premium. Rekaan skrin bezel nipis mengingatkan saya kepada Nothing dan cukup menarik ia boleh dicapai pada peranti kategori ini.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – XOS FOR GT

Infinix GT 10 Pro menjalankan sistem operasi XOS for GT berasaskan XOS Android 13. Sebagai pengguna kali pertama menggunakan jenama ini saya terkejut yang XOS adalah sistem paling suci selepas Nothing OS. Tiada sebarang aplikasi gendut yang mengarut dan tidak patut. Hanya terdapat beberapa aplikasi Infinix yang boleh dibuang tetapi tidak perlu pun tidak mengapa kerana ia aplikasi-aplikasi yang berguna.

XOS adalah gabungan MIUI, Funtouch OS dan Color OS kerana itu pengalaman penggunaan yang saya dapat dari menggunakan peranti ini dan itu yang apa saya nampak pada rekaan antaramuka sistem operasi Infinix ini. Saya amat suka yang XOS ini tidak memerlukan masa yang banyak untuk saya fahami setiap ciri dan fungsi ditawarkan. Ia adalah sistem yang mudah digunakan dan tidak memeningkan seperti pengeluar peranti China yang lain.

XOS turut menawarkan beberapa ciri dan fungsi yang menarik. Berikut adalah senarainya;

  • Lightning Multi-Window
    • Ciri multi-tugasan yang dikawal dengan gestur.
  • MemFusion
    • Memberi 8GB RAM tambahan secara maya.
  • Smart Panel
    • Panel khas yang memaparkan akses pantas ke aplikasi kegemaran.
  • Social Turbo
    • Memberi WhatsApp ciri mod kecantikan, pengubah suara, pencipta pelekat dan banyak lagi.
  • Game Mode
    • XArena, mod permua Infinix yang menjadikan permua berprestasi lebih tinggi.
  • Backlight Effect
    • Jalur Mini-LED yang bergerak dan menyala mengikut notifikasi atau rentak muzik.

PENANDA ARAS – DIMENSITY 8050

Seperti Dimensity 7050 yang dijenamakan semula daripada Dimensity 1080, Dimensity 8050 pula adalah nama baharu kepada cip lama iaitu Dimensity 1300 dan Dimensity 1200. Walaupun begitu ia adalah cip yang lebih berkuasa berbanding Dimensity 7050 kerana penggunaan CPU 1x 3.0 GHz Cortex-A78, 3x 2.6GHZ Cortex -A78 dan 4x 2.0GHz Cortex-A55 yang dipadankan dengan GPU Mali-G77 MC9.

Walaupn begitu, Infinix GT 10 Pro dengan 8GB RAM secara teorinya sepatutnya mempunyai prestasi lebih rendah berbanding realme 11 Pro+ (Dimensity 7050) dan. Dalam ujian penanda aras GT 10 Pro menerima skor lebih tinggi dan dalam pengalaman penggunaan pun sama, GT 10 Pro lebih lancar dan pantas. Mari bandingkan GT 10 Pro dengan Redmi Note 12 Pro+ (Dimensity 1080). Poco X5 Pro 5G (Snapdragon 778G) dan iQOO Z7 (Snapdragon 782G).

Geekbench 6

  • Infinix GT 10 Pro – 1103/2980
  • iQOO Z7 – 1125/3001
  • Redmi Note 12 Pro+ 5G – 960 / 2288
  • Poco X5 Pro 5G – 781 / 2892

Antutu 3D

  • Infinix GT 10 Pro – 592,127
  • iQOO Z7 – 588,831
  • Redmi Note 12 Pro+ 5G – 463,849
  • Poco X5 Pro 5G – 529,942

3D Mark Wild Life Extreme

  • Infinix GT 10 Pro – 1,312
  • iQOO Z7 – 808
  • Redmi Note 12 Pro+ 5G – Tiada
  • Poco X5 Pro 5G – Tiada

Ketika bermain permua pada GT 10 Pro ia memang rasa seronok, memuaskan dan peranti sukar untuk memanas. Realme 11 Pro+ yang lebih mahal dan memori lebih tinggi mengalami masalah lengah masa dan memanas yang tidak diingini. iQOO Z7 juga menerima skor lebih baik dengan penggunaan yang lebih terjamin. Di sini terbukti pengoptimasian perisian itu penting.

TELEFONI Dan GPS

Infinix GT 10 Pro di pasaran untuk menyokong 5G yang mana saya yakin peranti ini tiada masalah dengannya. Saya menggunakan pelan Maxis dan ketika menguji peranti ini 5G masih tidak ditawarkan lagi. Walaupun begitu prestasi 4G, VoLTE, VoWiFi dan panggilan telefon padanya berfungsi dengan sangat lancar. Penggunaan GPS juga baik sekali cuma Waze dan Google Maps mempunyai prestasi yang sedikit perlahan.

KAMERA

Kemampuan kamera peranti ii bukanlah yang saya harapkan akan mengubah standard industri peranti kelas pertengahan. Cuma jika mempromosikan kamera 108 Megapixel biarlah kamera itu bagus dan berguna, lagi-lagi apabila hanya ada satu sahaja sensor utama dengan dua sensor tambahan adalah gimik semata-mata.

Fokus jarak dekat
Zum maksima
Mod auto siang hari
Mod potret yang nampak kemas

Infinix Gt 10 Pro adalah peranti kelas pertengahan premium dengan kamera peranti kelas asas. Warna kerap pudar dan jarang mendapat hasil yang terang dan tajam. Fokus tidak begitu baik, zum agak lemah, tiada sokongan sudut ultra-lebar, akan tetapi pada mod potret pula nampak baik dan kemas. Mod malam pula lagilah seakan gambar gelap yang dinaikkan tahap kecerahan sahaja.

Mod auto dengan fokus bermasalah
Mod auto dengan warna yang tidak konsisten
Mod malam dengan hasil seakan kecerahan sahaja dinaikkan
Swafoto yang sangat lembut dan fokus yang perlahan

VIDEO

Peranti dalam kelas ini fungsi rakaman video adalah “asalkan ada“. Menjadikan Infinix ini menarik adalah XOS menawarkan aplikasi suntingan video AI yang menjadikan setiap detik rakaman nampak menarik dan memberikan hasil video yang cukup kreatif berserta dengan runut bunyi tersendiri.

BATERI

Bateri tidak begitu tahan untuk peranti kelas pertengahan dengan kapasiti 5000mAh. Biasanya peranti gaming atau peranti yang memfokuskan prestasi boleh bertahan mencapai 6-7 jam SOT. untuk penggunaan biasa sahaja seperti media sosial, permua ringan dan sedikit video GT 10 Pro hanya bertahan sekitar 5 jam SOT. Penggunaan lebih berat hanya bertahan sekitar 4 jam SOT jika bertuah.

Pegecasan adalah 45W yang baik sahaja kerana menyokong Power Delivery yang mudah untuk dicas dengan kebanyakan pengecas moden. Ia mengambil masa sekitar 1 jam 55 minit untuk penuh, jika sedikit lebih pantas mungkin 65W saya akan lebih gembira dengannya.

AUDIO

Audio stereo cukup seimbang pada peranti ini. Sayang sekali ia tiada definisi dengan audio yang dihasilkan rasa serabut dan memeningkan kepala. Bass tidak dalam, kejelasan tidak tercapai dan bunyi nada tinggi pula amat nyaring. GT 10 Pro menggunakan sistem DTS Sound yang mana sepatutnya baik tetapi mungkin kerana perisian yang tidak cukup matang atau perkakasan yang kurang berkualiti digunakan untuk harga peranti yang mampu ini pengorbanan yang semua patut terima.

PESAING

Realme 11 Pro+Honor 90iQOO Z7
6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz6.64″ IPS LCD, FHD+, 120Hz
Dimensity 8050 (6nm)
1x 3.0 GHz Cortex-A78
3x 2.6 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 7050 (6nm)
2x 2.6 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 782G (6nm)
1x 2.7 GHz Cortex-A78
3x 2.4 GHz Cortex-A78
4x 1.8 GHz Cortex-A55
Mali-G77 MC9Mali-G68 MC4Adreno 642L
8GB LPDDR4X
8GB Maya
12GB LPDDR5
12GB Maya
8/12 GB LPDDR4x
256GB IFS 3.1
Mikro SD 1TB
512 UFS 3.1128/256 UFS 2.2
Kamera Utama
108MP f/1.75 OIS (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
2MP f/2.4 (Sensor Kedalaman)
AI Cam, Super Night
Kamera Utama
200MP f/1.69, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Street Photography Mode, One Take, Super NightScape
Kamera Utama
64MP f/1.79, OIS (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
Micro Movie, Dynamic Photo, Supermoon
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.45
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.45
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.45
TiadaTiadaTiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Mono
5000 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 100W)5000 mAh (Berwayar 120W)
RM1,119* (8/256GB)

*Harga India
RM 1999 (12/512 GB)
RM 1499 (8/256 GB)
RM 1299 (8/128 GB)
RM 1499
(12/256 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Infinix GT 10 Pro
  • 1x kotak yang boleh berubah menjadi Woofer
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pengecas 45W
  • 1x Kerangka pelindung silikon
  • 1x Set buku panduan/keselamatan
Kotak jadi woofer, lampu menyala ikut rentak lagu

KESIMPULAN

Infinix GT 10 Pro adalah peranti gaming yang padu yang boleh dibeli pada harga mampu dan pasti akan membuat pesaing rasa terkedu. Penawaran Infinix di Malaysia mencabar realme dan Xiaomi yang sedia menawarkan peranti kelas pertengahan premium pada harga mampu. Perisian yang bebas iklan, tiada aplikasi mengarut, 8GB RAM mampu memberikan prestasi tinggi dan padat dengan fungsi menarik adalah perkara yang pesaing masih tidak dapat tawarkan.

Jika anda ingin mencari peranti dengan rekaan unik, boleh gaming tanpa rasa lengah masa dan harga yang tidak koyak kocek Infinix GT 10 Pro adalah peranti yang wajib anda beli. Satu perkara penting yang anda perlu tahu sebelum membeli adalah peranti Infinix menawarkan kemas kini hanya 2 tahun.

Pro

  • Rekaan nampak premium.
  • Skrin yang cantik dengan bezel nipis.
  • XOS sistem operasi yang mantap.
  • Prestasi hebat untuk peranti 8GB RAM.
  • Harga berpatutan.

Kontra

  • Kamera tidak memuaskan.
  • Bateri tidak tahan lama.
  • Mini-LED tidak begitu menyerlah.
Komen