Sehingga hari ini, tidak banyak tablet Android dapat menandingi iPad. Walau bagaimanapun ramai tidak mampu membeli iPad kerana harganya yang cukup mahal walaupun untuk model yang asas. Baru-baru ini saya ada menguji Xiaomi Pad 6, sebuah tablet kelas pertengahan premium Xiaomi yang memberi pengalaman penggunaan yang saya rasakan memuaskan.

Tablet ini walaupun masih tidak sempurna, ia mungkin adalah tablet Android terbaik yang pernah saya gunakan dan dalam artikel ini akan saya berikan sebab kenapa anda patut membelinya.
SPESIFIKASI
Xiaomi Pad 6 | |
---|---|
Skrin | 11″ LCD, 2880 x 1800, 144Hz, Dolby Vision |
Pemproses | Snapdragon 870 (7nm) |
Cip | 1x 3.2 GHz Kryo 585 3x 2.42 GHz Kryo 585 4x 1.80 GHz Kryo 585 |
Cip Grafik | Adreno 650 |
RAM | 8GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 13 Megapixel, f/2.2 4K 30fps |
Kamera Depan | 8 Megapixel f/2.2 1080p 30fps |
Bateri | 8840mAh Pengecasan berwayar 33W |
SIM/Telefoni | WiFi |
Audio | Speaker Stereo Dolby Atmos |
Sistem Imbasan | Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1399 (8/128 GB, WiFi) RM1499 (8/256 GB, WiFi) |
SKRIN DAN REKAAN
Skrin tablet ini bersaiz 11″ dan menggunakan panel LCD yang menyokong kadar segar semula 144Hz serta paparan Dolby Vision. Ini adalah skrin tablet dalam kategori kelas pertengahan yang terbaik pernah saya gunakan setakat ini. Skrin yang sangat pantas memberi ilusi yang baik yang peranti ini mempunyai prestasi sangat lancar tanpa masalah lengah masa.

Dari segi warna juga cukup tajam dan menarik, lebih-lebih lagi menonton video di Netflix dan Prime Video. Saya tiada masalah menghabiskan masa sehingga berjam lamanya maratonton di platform penstriman. Rekaan bezel walaupun tidak begitu nipis, sekurang-kurangnya ia sekata dan memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan.

Sekali imbas, Pad 6 ini kelihatan seakan iPad Air M1 saya yang juga berwarna biru cair dan kualiti binaan juga lebih kurang sama. Untuk tablet yang dijual pada harga bermula RM1299 (ketika promosi), saya cukup terkejut dengan kualiti yang boleh Xiaomi berikan.
Bentuk lalai tablet ini adalah melintang dengan dahi yang ada kamera swafoto, sisi kiri dengan butang kuasa dan kekisi speaker. Sisi kanan pula mempunyai port USB-C serta lubang mikrofon Akhir sekali di bahagian terdapat satu lagi butang fizikal untuk laras suara dengan kawasan dermaga magnet untuk pengecasan stilus.

Di belakang Pad 6 terdapat logo Xiaomi dengan pin magnet untuk sambungan aksesori. Selain itu adalah bonggol kamera yang mirip dengan Xiaomi 13 tetapi hanya mempunyai satu sensor dengan lampu LED flash kerana satu lagi “lensa” hanya sekadar olok-olok tanpa sensor di belakangnya.

Xiaomi Pad 6 adalah sebuah tablet yang mudah untuk dikendalikan. Menggunakan tanpa sebarang aksesori cukup selesa dan kemasan juga tidak begitu licin. Ini adalah rekaan tablet yang cukup baik untuk kategori kelas pertengahan.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Pad 6 menjalankan MIUI Pad Global berasaskan MIUI 14. Percaya atau tidak ini adalah peranti MIUI terbaik pernah saya gunakan. Ini kerana sistem operasi yang dijalankan bebas daripada aplikasi gendut yang mengarut dan yang tidak patut. Ia adalah versi MIUI yang paling suci pernah saya lihat iaitu versi idaman saya untuk dijalankan pada telefon pintar Xiaomi.

Xiaomi menawarkan beberapa ciri khas untuk tablet seperti Floating windows untuk melakukan multi-tugasan, menyokong Connected devices untuk disambungkan pada telefon Xiaomi lain (versi China boleh disambungkan kepada komputer riba) dan juga Conference tool iaitu alatan khas untuk telesidang seperti mod kecantikan. Xiaomi turut menyertakan ciri Parallel windows untuk memaksa aplikasi yang terpilih dipaparkan dalam mod dua lajur.

Ciri tablet lain adalah Stylus & Keyboard untuk kawalan Xiaomi Smart Pen generasi kedua dan juga kerangka pelindung merangkap papan kekunci. Dalam tetapan ini ada beberapa kawalan yang boleh dilakukan pengguna untuk memastikan pengalaman penggunaan yang paling baik.
XIAOMI SMART PEN GENERASI KE-2
Stilus ini tidak sehebat Apple Pencil atau Samsung S Pen. Walaupun begitu Xiaomi masih cuba memberikan yang terbaik supaya pengguna boleh memanfaatkannya seperti mempunyai butang pintasan ke tangkapan layar dan juga menulis nota. Apa yang saya harap Xiaomi boleh ubah di masa hadapan adalah hujung stilus dengan sensor mengesan tekanan untuk kemampuan menulis dan melukis yang lebih jitu dan selesa. Agak aneh di tahun 2023 stilus Xiaomi masih terlalu asas sedangkan pengesanan tekanan telah disokong S Pen sejak 2011 lagi.

XIAOMI PAD 6 COVER & KEYBOARD
Xiaomi turut menyediakan dua pilihan kerangka rasmi. Satu yang asas sekadar untuk melindungi skrin. Sementara satu lagi seakan Apple Magic Keyboard tetapi dengan magnet yang kurang kuat dan mudah tertanggal. Saiz papan kekunci yang kecil turut menyukarkan saya untuk melakukan kerja-kerja menaip dan susun atur yang rapat pula amat menjengkelkan. Apa yang saya suka adalah sambungan magnetik yang pantas tanpa perlu melakukan tetapan pada Bluetooth.

PENANDA ARAS DAN PRESTASI
Tablet ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 870 yang dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5 dan juga storan dalaman mencapai 256GB UFS 3.1. Sudah semestinya jika dibandingkan dengan iPad prestasi tablet ini akan ketinggalan. Walaupun begitu dalam penggunaan saya, tablet ini mampu menjalankan tugasan harian dan hiburan dengan sangat baik. Setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah, lebih-lebih lagi dengan sokongan memori maya sehingga 5GB yang membantu pengurusan memori menjadikan tablet ini lebih efisien.

Saya menguji pada dua aplikasi penanda aras iaitu Geekbench 6 dan juga AnTuTu 3D. Skor yang diperoleh berada di luar jangkaan saya dan setakat ini ia adalah positif. Skor penanda aras ini turut selari dengan pengalaman penggunaan di dunia sebenar ketika bermain permua dan melakukan tugasan yang berat. Tablet ini tidak memanas dan mana-mana permua yang saya mainkan seperti Asphalt 9 atau Marvel Snap kekal pantas dan lancar dengan permua grafik tinggi seperti PUBG Mobile tiada masalah untuk dimainkan pada grafik tinggi.
- Geekbench 6 – 1,293/3,279
- AnTuTu 3D – 657,448
- 3DMark – 1,227


KAMERA
Kamera tablet ini bukanlah yang terbaik. Walaupun ia bukan ciri utama, kamera berkualiti amat penting untuk penggunaan telesidang seperti dalam Zoom atau Google Meet. MIUI ada memberikan ciri telesidang dengan mod kecantikan tetapi itu tidak cukup membantu. Kualitinya terlampau lembut, gambar masih ada kesan hingar dan tidak mempunyai sistem fokus yang bagus. Lebih mengecewakan Xiaomi masih tidak menyertakan ciri seakan Center Stage untuk penggunaan telesidang yang lebih memuaskan.


AUDIO
Xiaomi Pad 6 menggunakan sistem kuad-speaker dengan Dolby Atmos. Untuk tablet yang harga jualan yang tidak mencapai RM1.5k ia menawarkan kualiti yang terbaik. Audio yang dihasilkan cukup seimbang, lantang, enak, mempunai bass yang baik serta kejelasan yang menjadikan pengalaman menonton video atau mendengar muzik mengasyikkan.
BATERI
Bateri Pad 6 cukup besar iaitu 8840mAh. Sayang sekali bateri besar ini tidak memberi ketahanan yang bagus. Memandangkan MIUI sekarang tidak memaparkan SOT, saya terpaksa mengira secara manual. APa yang saya dapat adalah penggunaan sekitar 5 jam SOT satu hari dengan aktiviti yang ringan. Jika bermain permua ia bertahan sekitar 4 jam SOT sahaja.

Pengecasan pula terhad kepada 33W yang mana agak perlahan untuk tablet dengan bateri yang besar. Pad 6 mengambil masa hampir dua jam untuk dicas sehingga penuh dan ia mengecewakan. Saya mengharapkan ia sekurang-kurangnya menyokong 65W untuk masa pengecasan yang lebih pantas.
PESAING
Xiaomi Pad 6 | Realme Pad 2 | Honor Pad X9 |
11″ LCD, 2880 x 1800, 144Hz, Dolby Vision | 11.5″ LCD, 2000 × 1200, 120Hz | 11.5″ TFT, 2000 x 1200, 120Hz |
Snapdragon 870 (7nm) 1x 3.2 GHz Kryo 585 3x 2.42 GHz Kryo 585 4x 1.80 GHz Kryo 585 | Helio G99 (6nm) 2x 2.2 GHz Cortex-A76 6x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 685 (6nm) 4x 2.8 GHz Cortex-A73 4x 1.9 GHz Cortex-A53 |
Adreno 650 | Mali-G57 MC2 | Adreno 610 |
8GB LPDDR5 | 6/8 GB | 4GB |
128/256 GB UFS 3.1 | 128/256 GB + MicroSD | 128GB |
Kamera Utama 13 Megapixel, f/2.2 | Kamera Utama 8 Megapixel f/2.0 | Kamera Utama 5 Megapixel, f/2.2 |
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 5 Megapixel, f/2.2 |
Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
8840 mAh (Berwayar 33W) | 8360 mAh (Berwayar 33W) | 7250 mAh *Kadar pengecasan tidak didedahkan |
RM1399 (8/128 GB, WiFi) RM1499 (8/256 GB, WiFi) | Bermula ₹19,999 (~RM1120) *Harga pasaran India | RM1099 (4/128 GB, LTE) |
KESIMPULAN
Jika anda tidak mampu membeli iPad tetapi masih ingin memiliki sebuah tablet yang cukup berkuasa dengan prestasi yang pantas, ciri multi-tugasan yang baik, skrin dan audio yang mantap – Xiaomi Pad 6 adalah tablet yang anda patut miliki. Terdapat beberapa pesaing di pasaran sekarang, tetapi semuanya jauh ketinggalan dari segi spesifikasi dan perisian. Lebih dahsyat pesaing-pesaing ini turut menjual pada harga lebih kurang sama dan secara tidak langsung memperlihatkan Xiaomi Pad 6 sebagai tablet Android yang lebih berbaloi.

Pro
- Skrin yang cantik dan pantas.
- Prestasi yang sangat lancar untuk tablet 8GB RAM.
- Perisian yang bagus bebas aplikasi gendut yang mengarut.
- Sistem audio yang enak dan lantang.
Kontra
- Kamera tidak berkualiti.
- Bateri tidak tahan dengan pengecasan yang perlahan.
- Aksesori dijual berasingan dengan sistem magnet yang lemah.
