Apple Music sehingga hari ini adalah platform penstriman muzik kegemaran saya. Tidak dinafikan antaramuka Apple Music tidak sehebat Spotify, akan tetapi kualiti audio yang ditawarkan dan harga berkas langganan yang berbaloi membuatkan saya setia dengan platform ini.
Tetapi Apple Music agak ketinggalan berbanding Spotify dalam memberi cadangan lagu yang mungkin digemari pengguna berdasarkan corak pendengaran. Apple Insider melaporkan yang Apple Music kini hadir dengan Discovery Station yang memainkan lagu-lagu yang disukai, mungkin disukai atau yang pernah didengari pengguna tetapi tidak pernah menambahnya ke dalam mana-mana senarai main.
Anda boleh temui Discovery Station ini pada bahagian “Dengar” di Apple Music kemudian tatal ke bawah di bahagian “Stesen Anda”. Lagu-lagu dalam stesen ini ternyata benar adalah antara yang pernah saya dengari sebelum ini tetapi sudah lupa akan judulnya, nama penyanyi dan memang tidak pernah saya tambah dalam mana-mana senarai main saya.
Adakah dengan adanya ciri ini anda akan beralih ke Apple Music? Harga langganan sekarang adalah RM16.90 sebulan.