Setiap jenama-jenama besar mempunyai bahagian kajian mereka yang tersendiri bagi memastikan produk mereka sentiasa berinovasi dan melahirkan idea-idea baru untuk produk. Pada tahun lalu OPPO Research Institute Innovation Accelerator telah julung kalinya mengadakan pertandingan inovasi Inspiration Challenge bagi mencari idea baharu yang boleh dilaburkan dan dimajukan.

Tahun ini merupakan tahun kedua pertandingan inovasi OPPO Inspiration Challenge diadakan, dan telahpun memasuki peringkat pemilihan peserta yang bakal menjadi wakil akhir untuk rantau ini. Sebanyak 15 startup telah disenarai pendek untuk membentangkan idea mereka, dan 5 startup teratas ini akan dipertemukan dengan 5 startup teratas dari Amerika dan Eropah, serta 5 lagi dari China untuk berentap di pusingan akhir yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini.
Terdapat dua kategori idea yang dipertandingkan iaitu Inspiration for People yang memfokuskan idea teknologi untuk pengguna seperti peranti boleh pakai, kesihatan mental, AR/VR dan juga Inspiration for Planet yang memfokuskan idea teknologi untuk kelestarian bumi.
Lima startup yang akan mewakili rantau ini untuk peringkat akhir adalah seperti berikut.
Ezspeech – Aplikasi Terapi Latihan Percakapan

Terdapat masalah percakapan yang semakin meruncing dikalangan manusia, dan tidak banyak pakar terapi percakapan yang tersedia untuk berkhidmat bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah percakapan. Startup ini memfokuskan pembangunan aplikasi yang membantu pakar terapi percakapan bagi melakukan sesi terapi latihan percakapan menggunakan aplikasi.
Ertigo – Perkhidmatan Membantu Masalah Kecergasan Pekerja

Memandangkan semakin ramai pekerja yang menggunakan komputer, isu fisiogi pekerja menjadi fokus utama startup ini bagi memastikan pekerja di pejabat kekal cergas dan terhindar dari penyakit yang boleh menurunkan prestasi mereka. Aplikasi yang mereka bangunkan akan menyarankan senaman yang boleh dilakukan dan turut memberikan pelan perancangan kesihatan yang boleh direka secara berbeza untuk setiap pekerja.
Impulse – Alat Bantu Pendengaran Yang Lebih Mampu Milik

Di India terdapat 100,000 kanak-kanak yang dilahirkan mempunyai masalah pendengaran, dan 90,000 daripadanya tidak mampu untuk membayar proses pembedahan yang boleh membetulkan pendengaran mereka. Dengan peranti yang mereka bangunkan, ia tidak menggunakan kos yang mahal, serta tidak memerlukan sebarang pembedahan. Malah mereka juga telah memegang dua paten antarabangsa untuk stimuli otak secara magnetik (Transcranial Magnetic Stimulation). Startup ini turut menerima anugerah khas Pilihan Media.
Mobio – Mengesan Kesihatan Mental Menerusi Video Selfie Selama 30 Saat

Startup ini telahpun hadir dengan aplikasi AmDTx yang boleh mengukur tahap kesihatan mental pengguna hanya dari rakaman video selfie selama 30 saat. Dengan kecerdasan buatan, keputusan tahap kesihatan mental pengguna akan ditakrifkan, dan terdapat doktor yang boleh mengesahkan ujian tersebut sekiranya dipinta. Kejituan keputusan dari rakaman video selfie adalah sekitar 86% namun dengan semakan dan ukuran yang kerap, kadar purata kejituan tersebut boleh digunapakai bagi melakukan sebarang rawatan lanjut.
Flint – Bateri Boleh Kompos Dan Dilenturkan

Satu-satunya startup yang melayakkan diri untuk kategori Inspiration for Planet, mereka hadir dengan teknologi bateri yang senipis kertas, menggunakan sel selulosa dan juga hidrogel. Teknologi bateri yang mereka bangunkan juga boleh dilenturkan, dan boleh terurai dengan selamat dan tidak mudah bocor. Menariknya bateri boleh kompos ini juga boleh dikilangkan dengan cara yang sama digunakan untuk bateri Lithium-Ion jadi proses untuk menghasilkan bateri ciptaan Flint ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk digunakan pada semua kilang. Startup ini turut menerima anugerah khas Pilihan Media.

Kesemua 5 startup ini secara automatiknya akan menyertai program pemecut (Accelerator) yang dikendalikan OPPO bagi membolehkan idea mereka direalisasikan dan mungkin akan terbina pada telefon pintar OPPO. OPPO juga komited dengan memperuntukkan sejumlah USD 440,000 bagi kesemua 45 startup yang terpilih sehingga ke peringkat pra-pemilihan ini untuk menerima akses kepada kerjasama dan dana pemasaran serta sokongan dari rakan kerjasama OPPO yang lain antaranya AWS, Qualcomm, GSMA dan juga Linkedin.
- Info
- Baca: OPPO Inspiration Challenge