Cari @ Amanz

Pada minggu lepas kami ada melaporkan bahawa Dell memperkenalkan komputer desktop gaming terbaru mereka, iaitu Alienware Aurora R16. Kini, penawaran komputer tersebut nampaknya telahpun masuk ke pasaran tempatan dengan konfigurasinya sendiri.

Seperti yang anda tahu, rekaan komputer desktop ini dilihat lebih tradisional berbanding dengan komputer Aurora R15 sebelum ini. Ia masih memperlihatkan beberapa rekaan Legend Design mereka, tetapi kini tidak begitu pelik.

Di laman web Dell Malaysia, spesifikasi untuk komputer Alienware Aurora R16 ini sudahpun diperlihatkan, dan ia hadir dengan beberapa konfigurasi menarik. Pertama ialah penawaran CPU yang terdiri daripada Intel Core i7-13700F dan juga Intel Core i9-13900F dengan kelajuan 5.2GHz untuk model i7 dan kelajuan Thermal Velocity Booth 5.6GHz yang hanya diperlihatkan melalui siri cip Intel Core i9.

Dari segi penawaran kad grafik pula, laman web Dell Malaysia memperlihatkann pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 dengan 12GB memori GDDR6 dan juga NVIDIA GeForce RTX 4080 dengan 16GB memori GDDR6.

Untuk storan, anda boleh mendapatkan pilihan gabungan dwi-storan SSD dan cakera keras 512GB SSD dan 1TB cakera keras, 1TB SSD dan 1TB cakera keras, ataupun storan SSD 2TB. Untuk memori pula, pilihan anda termasuklah memori DDR5 16GB, 32GB dan juga 64GB (memori dwi-saluran).

Pilihan konfigurasi terakhir dilihat melalui penawaran penyejuk CPU dan juga bekalan kuasa. Terdapat tiga pilihan di sini, iaitu penyejuk CPU udara dan bekalan kuasa 500W, penyejuk CPU cecair dengan radiator 240mm dan bekalan kuasa 1000W Platinum, dan penyejuk CPU cecair dengan radiator 240mm dan bekalan kuasa 1000W Platinum bersama panel tepi lutsinar.

Saranan kami, tidak kira konfigurasi komputer yang dipilih ialah untuk mendapatkan bekalan kuasa 1000W, kerana walaupun dengan konfigurasi Intel Core i7 dan NVIDIA RTX 4070, 500W adalah tidak mencukupi.

Dari segi tarikh penghantaran, carian awal kami memperlihatkan bahawa Dell Malaysia akan menghantar keluar komputer Alienware Aurora R16 ini pada tarikh 22 Ogos ini. Alienware Aurora R16 ditawarkan pada harga permulaan RM10,599 untuk konfigurasi CPU Intel Core i7, memori 16GB, storann SSD 512GB, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 dan bekalan kuasa 500W sebagai konfigurasi pilihan paling murah.

Konfigurasi paling mahal pula yang dapat kami lihat terdiri daripada pilihan Intel Core i9-13900F, memori DDR5 64GB, storan SSD 2TB, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 dan bekalan kuasa 1000W dengan penyejuk CPU cecair dan panel lutsinar ditawarkan pada harga RM17,647.

Jika anda berminat untuk mendapatkan komputer Alienware Aurora R16 ini, anda boleh ke laman web Dell Malaysia untuk memilih konfigurasi komputer pilihan anda.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd