Cip NVIDIA GH200 Grace Hopper Diumumkan Dengan Memori 282GB HBMe
Effi Saharudin
NVIDIA pagi ini melancarkan cip kecerdasan buatan (AI) terkini mereka di bawah platform NVIDIA GH200 Grace Hopper Superchip dengan memori HBM3e yang lebih pantas. Ia merupakan kemas kini kepada cip GH200 Grace Hopper Superchip yang dilengkapi memori HMB3 sahaja sebelum ini.
Ini menjadikan cip ini yang pertama menggunakan memori HBM3e dengan kelajuan mencecah 10TB/s yang adalah 50% lebih pantas berbanding HBM3. Menurut NVIDIA peningkatan kemampuan kapasiti memori sehingga 3.5 kali ganda dan jalur lebar memori sehingga 3 kali ganda dicapai berbanding platform generasi terdahulu.

Setiap NVIDIA GH200 Grace Hopper mempunyai 144 teras ARM Neoverse dan 282GB RAM HBM3e. Kemampuan AI cip ini mencecah 8 Petaflops. Kerana penambahbaikan hanya pada memori, “cip baharu” ini masih mengekalkan penggunaan CPU Grace CPU dan GPU GH100. Pengeluaran sedang dilakukan dengan platform terkini hanya akan ditawarkan kepada pelanggan pada Q2 2024.
Pengeluaran platfrom NVIDIA GH200 Grace Hopper dengan HBM3 akan diteruskan dengan ia digunakan pada sistem NVIDIA DGX GH200 yang dilengkapi memori sebesar 144 Terabyte. Kesemua platform GH200 Grace Hopper dibangunkan untuk melatih model AI.
[sumber] NVIDIA [/sumber]